15.07.08
Selangor 'bersorak' gara-gara NS hilang mata
Oleh: BERNAMA
PASUKAN Negeri Sembilan yang sedang berusaha memburu tempat ke suku akhir Piala Malaysia tersentak apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bertindak memotong tiga mata daripada kemenangan mereka ke atas Selangor pada 27 Jun lepas.
"Keputusan diambil setelah mendapati Negeri Sembilan bersalah apabila tidak menurunkan pemain bawah 21 tahun selama 90 minit perlawanan mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh FAM," kata Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan, Datuk Che Mat Jusoh ketika di hubungi, semalam.
Che Mat berkata, pada perlawanan itu, Negeri Sembilan telah menukar seorang pemain bawah 21 tahunnya dengan seorang pemain import yang menyaksikan mereka menang 3-0 ketika menentang Selangor di Shah Alam.
"Setelah bermesyuarat dan meneliti perkara ini, kami membuat keputusan memberikan kemenangan kepada Selangor dengan keputusan 3-0," katanya.
Keputusan ini membolehkan Selangor mendahului kumpulan A dengan 16 mata, manakala Negeri Sembilan di tangga keempat dengan 10 mata dengan masing-masing berbaki tiga dan dua perlawanan lagi.
Dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke suku akhir bersama satu pasukan tempat ketiga terbaik antara kumpulan A dan C.
Mengenai insiden pergaduhan dua pemain Selangor dengan penyokong mereka di Negeri Sembilan selepas perlawanan, Sabtu lepas Che Mat berkata, pegawai perlawanan tidak melaporkan perkara itu kepada jawatankuasanya.
"Jika ada laporan daripada mana-mana pihak, kita akan menyiasat perkara itu dari setiap aspek sebelum tindakan sewajarnya diambil oleh FAM," katanya.
Sementara itu, Che Mat yang juga Naib Presiden FAM berkata, satu seminar akan diadakan pada 21 dan 22 Julai ini bagi membincangkan sebarang masalah yang timbul di kalangan persatuan-persatuan negeri.
"Seminar ini akan menjadi medan kepada persatuan-persatuan negeri untuk berbincang dan menyatakan masalah mereka kepada FAM seperti format liga tempatan, kewangan, penajaan dan sebagainya," katanya.
Che Mat berkata, daripada situ barulah FAM akan memahami dengan lebih jelas masalah persatuan-persatuan negeri dan bagi merangka pelan tindakan sewajarnya pada musim depan.