15.07.08
Selangor cari hadiah ulang tahun
Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)
SELANGOR memburu kemenangan ke atas Kelantan pada saingan bola sepak Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam ini sebagai hadiah paling bermakna bagi meraikan ulang tahun ke-14 stadium berkenaan esok.
Jika diimbas kembali pada 16 Julai 1994, perlawanan pertama di Stadium Shah Alam menyaksikan Selangor dan Dundee United seri 1-1 hasil jaringan pemain kelab dari Scotland itu, William McKinlay pada minit ke-56 sebelum disamakan pemain Selangor, Anuar Abu Bakar enam minit kemudian.
Justeru, Anuar yang ketika itu baru berusia 23 tahun telah dinobatkan sebagai pemain tempatan pertama yang berjaya menjaringkan gol di Stadium Shah Alam.
Kini, pada usia 37 tahun, Anuar dan Stadium Shah Alam masih tidak dapat dipisahkan apabila dia menjadi penolong jurulatih pasukan Selangor sejak musim lalu.
Menurutnya, biarpun jaringan tersebut berlaku 14 tahun lalu, dia masih dapat membayangkan perasaan gembira meraikan gol berkenaan dan suasana gegak gempita pada malam tersebut juga tetap segar dalam ingatannya.
"Memang bangga kerana menjadi orang pertama menjaringkan gol di stadium ini. Teringat ketika itu budak-budak sekolah memenuhi kawasan trek dan seluruh ruang stadium juga penuh dengan penonton.
"Alhamdulillah selepas 14 tahun, saya masih berada di stadium ini. Bezanya kali ini, saya bukan sebagai pemain yang beraksi di atas padang tetapi sebagai tenaga kejurulatihan," katanya kepada Kosmo! semalam.
Lantas, Anuar mencabar barisan serangan Selangor yang diketuai Safee Sali, Frank Seator, Shukor Adan, Indra Putra Mahayuddin, Elie Aiboy serta pemain muda cilik, Fitri Shazwan Raduwan untuk menggegar gawang lawan di stadium tersebut malam ini bagi membalas dendam kekalahan 2-5 di Kota Bharu pada 30 Jun lalu.
"Saya cabar pemain untuk buktikan kehebatan. Hadiahkan kemenangan sempena ulang tahun Stadium Shah Alam yang menjadi kebanggaan kita semua," katanya yang pernah mewakili Selangor, Johor, Kelantan, Pulau Pinang dan MPPJ sepanjang 16 tahun karier bola sepaknya.
Selain membantu Dollah Salleh melatih skuad Selangor, Anuar turut mengendalikan Akademik Soccer Kids Anuar Abu Bakar di Sekolah Kebangsaan Bandar Anggerik, Seksyen 6, Shah Alam setiap petang Sabtu dan pagi Ahad sejak sebulan lalu.