Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
18.07.08

Selangor hilang lima tonggak

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

SELANGOR akan melayan kunjungan Terengganu di Stadium Shah Alam malam ini tanpa lima tonggak utama.

Kapten Mohd. Shukor Adan, Indra Putra Mahayuddin, Safee Sali, Amirul Hadi Zainal dan Asraruddin Putra Omar disahkan tidak dapat diturunkan kerana mengikuti latihan skuad kebangsaan.

Menurut pengurus pasukan Selangor, Zakaria Ab. Rahim tempat kelima-lima pemain berkenaan akan digantikan barisan simpanan yang ada.

"Biarpun Selangor sudah sah ke suku akhir dan turun pula tanpa lima tonggak, kita tetap akan layan mereka seperti biasa dan mahu meneruskan rentak kemenangan," kata Zakaria kepada Kosmo! semalam.

Justeru, Zakaria mencabar pemain simpanannya supaya memanfaatkan peluang untuk beraksi malam ini dan menunjukkan kebolehan masing-masing dengan sebaik mungkin.

"Untuk bahagian tengah kita masih ada Safiq Rahim, Fazilidin Khalid dan Fadzli Shaari selain Amri Yahyah yang boleh beraksi di mana-mana posisi.

"Tanpa Safee di bahagian serangan, Frank Seator boleh diletakkan bergandingan dengan Akmal Rizal Rakhli atau S. Sritharan," jelasnya.

Namun, Zakaria memberitahu, dua pemain bawah 21 tahun, Fitri Shazwan Raduwan dan Fauzan Dzulkifli tidak akan diturunkan kerana mereka terlibat dengan aksi separuh akhir Piala Presiden petang semalam.

"Mereka berdua kembali membantu pasukan Piala Presiden. Jadi untuk esok (malam ini) kita akan gunakan Safiq Rahim atau Nasriq Baharom bagi mengisi slot wajib pemain bawah 21 tahun," katanya.