03.07.08
Selangor jangan kecewakan penyokong
Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)
PENGURUS pasukan Selangor, Zakaria Ab. Rahim mengharapkan pemainnya turun dengan penuh bersemangat bagi mencapai kemenangan pada perlawanan kelima saingan bola sepak Piala Malaysia menentang Melaka di Stadium Shah Alam malam ini.
"Pemain jangan kecewakan penyokong. Mereka datang ke stadium membayar tiket. Kalau pemain hormati mereka dengan mempamerkan aksi bertenaga dan menang, penyokong juga akan hormat kepada pemain," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Jelas Zakaria, meskipun dilanda spekulasi tentang masalah dalaman antara pihak pengurusan baru dan juga pemain, semua mereka dilihat masih bersemangat sewaktu menjalani sesi latihan terakhir di Stadium Shah Alam petang semalam.
"Saya nasihatkan kepada pemain untuk melupakan segala masalah dan kita harus buka lembaran baru. Sewaktu di atas padang, beri tumpuan 100 peratus dan lupakan masalah luar padang," tegasnya.
Namun, Zakaria memberitahu, Selangor masih tidak dapat menurunkan beberapa pemain utamanya seperti Nasriq Baharom, Akmal Rizal Rakhli, Razman Roslan dan Abdul Ghani Rahman yang masih cedera serta Amri Yahyah yang masih menjalani penggantungan satu lagi perlawanan.
"R. Surendren dan P. Gunalan sudah boleh beraksi. Tapi percaturan terakhir hanya akan ditentukan esok (hari ini). Mungkin ada beberapa pemain utama yang terpaksa direhatkan," jelasnya.
Selepas empat perlawanan, Selangor sekadar menduduki tangga keempat dalam Kumpulan A selepas seri 1-1 dengan Terengganu dalam aksi pertama diikuti kemenangan 3-1 ke atas Sarawak sebelum tewas dua kali berturut-turut kepada Negeri Sembilan (3-0) dan Kelantan (5-2).