04.07.08
Selangor lepas geram
Oleh: Alias Abd. Rani (HARIAN METRO)
SELEPAS dipalit dua kekalahan berturut-turut, Selangor akhirnya memadamkan kedukaan itu apabila mencatat kemenangan besar ke atas Melaka, 5-2 dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Kemenangan itu sekali gus mengakhiri episod malang sejak final Piala FA, bulan lalu yang menyaksikan skuad Gergasi Merah berdepan situasi terumbang-ambing.
Namun, di sebalik kejayaan itu sebenarnya melahirkan rasa kurang senang jurulatih Selangor, Dollah Salleh bukan kerana prestasi pemain malah ketiadaan kesebelasan utama menjelang pertemuan menentang Sarawak, Rabu ini.
"Pening saya dibuatnya apabila kami kekurangan pemain akibat kecederaan. Ahad ini, pemain saya akan beraksi pada Piala Sultan Selangor dan selepas itu ada yang bakal melapor diri bersama skuad kebangsaan.
"Inilah yang membuatkan saya buntu untuk mencari kesebelasan utama. Jika tiada pilihan, saya mungkin terpaksa menurunkan pemain Piala Presiden pada perlawanan (di Stadium Sarawak) itu," katanya.
Selangor kelihatan garang bermula dengan jaringan Amirulhadi Zainal pada m-26. Melaka kemudian menyamakan kedudukan menerusi Rosaiful Nizam ketika perlawanan separuh masa pertama berbaki empat minit.
Frank Seator kembali menggegarkan gawang buat Selangor melalui jaringan minit akhir separuh masa pertama dan seminit selepas separuh masa kedua bermula.
Melaka cuba merapatkan jurang juga menerusi Rosaiful seminit kemudian namun dua gol daripada Mohd Safee Sali m-77 dan 88 memastikan kemenangan bergaya tuan rumah.
"Saya kagum dengan persembahan pemain yang begitu menarik. Walaupun banyak peluang terhidang gagal dimanfaatkan, saya berharap prestasi seperti ini akan dapat dikekalkan pada perlawanan akan datang," katanya.