31.07.08
Selangor mahu rampas kembali Piala Presiden
Oleh: HARIAN METRO
SELEPAS 10 tahun, Selangor kini kembali bernafsu untuk mengungguli saingan Piala Presiden dan pertemuan dengan Perak pada perlawanan akhir malam esok dirasakan sebagai detik terbaik untuk berbuat demikian.
"Memang kami sudah mengatur segala persiapan dan mental pemain juga berada pada tahap terbaik. Kami mahu mempersembahkan yang terbaik buat penyokong dan pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).
"Kami tidak berdepan masalah kecederaan dan akan beraksi bermati-matian. Itu janji kami dan harap penyokong akan turun beramai-ramai memberikan sokongan moral," kata ketua jurulatih skuad Selangor, P Maniam.
Selangor akan melayan Perak di Stadium Shah Alam, jam 8.45 malam esok dan Maniam mengakui anak buahnya sudah tidak sabar lagi untuk turun beraksi.
Begitupun, beliau mengakui Perak bukanlah calang-calang pasukan dan pantas mengingatkan pemainnya supaya tidak mengambil mudah cabaran lawan.
"Perak adalah pasukan yang bagus dan saya meramalkan peluang 50-50 saja. Jika pemain dapat mengurangkan kesilapan, tidak mustahil Piala Presiden akan kembali ke pangkuan Selangor," kata bekas pemain skuad Gergasi Merah itu.
Sementara itu, Setiausaha Agung FAS, Hamidin Mohd Amin berkata, penyokong tidak akan dikenakan sebarang bayaran tiket untuk menyaksikan perlawanan akhir itu.