Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
06.07.08

Selangor rampas Piala Sultan Selangor

Oleh: BERNAMA

Pasukan Pilihan Selangor meranapkan impian pilihan Singapura untuk mencipta kemenangan hatrik apabila menewaskan musuh tradisinya 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti pada perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor edisi ketujuh di Stadium Shah Alam di sini Ahad malam.

Tendangan penalti oleh pemain Singapura Shahril Isak yang berjaya diselamatkan penjaga gol Selangor Megat Amir Faizal menyaksikan Selangor berjaya merampas kembali piala kebanggaan itu setelah dua tahun berturut-turut Singapura memenanginya.

Kemenangan ditentukan menerusi sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas masa penuh 90 minit tamat.

Okayama Tatsuya membolosi gawang Selangor seawal minit pertama untuk meletakkan pasukan Singapura di hadapan, sebelum Selangor menyamakan kedudukan pada minit ke-33 hasil rembatan Mohd Safee Mohd Sali.

Sepakan gunting Mohd Safee pada minit ke-60 berjaya meletakkan Selangor di hadapan sebelum pemain Singapura, Ashrin Shariff menyamakan kedudukan 10 minit kemudian.

Singapura sebelum ini menewaskan Selangor selama dua tahun berturut-turut pada 2006 dan tahun lepas.

Selangor pula memenangi Piala Sultan Selangor sebanyak tiga kali pada 2001, 2003 dan 2005 serta berkongsi kejuaraan pada 2004 apabila MPPJ mewakili Selangor pada perlawanan tersebut.

Terdahulu itu, pada perlawanan sampingan, veteran Singapura menewaskan veteran Selangor melalui sepakan penalti 8-7 selepas terikat 1-1 pada perlawanan selama 40 minit.

Perlawanan dua lagenda pasukan bola sepak bermula dengan cukup menarik dan menghiburkan apabila pemain veteran Selangor P.Somasundram menendang masuk bola ke dalam gawang Singapura pada minit ke-25.

Seakan-akan kemenangan dilihat berpihak kepada veteran Selangor, jaringan pemain Terry Pathmanathan pada minit-minit terakhir perlawanan memaksa kedua-dua pasukan menentukan kemenangan menerusi sepakan penalti.

Somasundram bagaimanapun gagal menyempurnakan tendangan penalti, sekaligus membolehkan Singapura menjuarai perlawanan tersebut.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan untuk menyampaikan piala dan wang tunai RM50,000 kepada pemenang.

Sebelum perlawanan bermula, penonton dihiburkan dengan pertunjukan payung terjun lima anggota Skuad 69 Komando Polis Diraja Malaysia yang mendarat dari ketinggian 3,500 kaki dengan membawa bendera Malaysia, Singapura dan Selangor serta bola perlawanan bagi pasukan pilihan Selangor dan Singapura.

Terdahulu, pada sebelah petang penyokong kedua-dua pasukan dihiburkan dengan persembahan penyanyi David Arumugam dari Alleycats, penyanyi dangdut Mas Idayu dan ratu rock Ella.