Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
18.07.08

'Selangor tunggu rayuan NS'

Oleh: Mohd Fadzrie Hazis (BERITA HARIAN)

SAINGAN peringkat Kumpulan Piala Malaysia kini sudah semakin ke penghujung, namun masih belum ada lagi pasukannya yang mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir.

Selangor dianggap pasukan pertama layak dari Kumpulan A dengan 19 mata daripada lapan perlawanan, namun kedudukan mereka masih belum pasti kerana ia bergantung sama ada rayuan Negeri Sembilan berhubung penolakan tiga mata berhasil atau tidak.

Negeri Sembilan ditolak tiga mata selepas menurunkan pemain import, Udo Fortune menggantikan Zaquan Adha Abdul Radzak untuk mengisi kuota bawah 21 tahun pada pertemuan dengan Selangor, 27 Jun lalu yang membolehkan Selangor meraih tiga mata.

Jika pemberian tiga mata kepada Selangor itu kekal, Selangor sah ke suku akhir tetapi jika sebaliknya ia kembali membuka saingan Kumpulan A antara Selangor (16 mata), Terengganu (16), Kelantan (14) dan Negeri Sembilan (16) untuk dua tempat teratas.

Apa pun, jurulatih Selangor, Dollah Salleh (gambar) tidak mahu pasukannya dilabel bergantung kepada 'pemberian tiga mata' itu dan baginya pemain-pemainnya berjaya mengikut arahannya untuk memburu kemenangan seperti ketika berdepan Kelantan Selasa lalu.

"Saya tidak mahu ada pihak yang berkata kami kini bergantung kepada tiga mata itu, kerana pemain saya sudah membuktikan kemampuan mereka," kata Dollah.