15.07.08
Shukor, Indra serang peminat
Oleh: Mohd Fadzrie Hazis (BERITA HARIAN)
DI sebalik rentetan dua kemenangan berturut-turut dalam saingan Piala Malaysia, kem Selangor kini kembali bergolak dan kali ini membabitkan pergaduhan di antara penyokong sendiri dengan dua tonggak - Shukor Adan dan Indra Putra Mahayuddin.
Difahamkan insiden berlaku selepas perlawanan Kumpulan A, Piala Malaysia dengan Negeri Sembilan di luar perkarangan Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Sabtu lalu dan difahamkan berpunca selepas penyokong terbabit melakukan provokasi terhadap dua pemain itu.
Walau apa sekalipun alasan, tindakan dua pemain itu yang juga pemain kebangsaan tetap satu kesalahan yang tidak menggambarkan sikap pemain profesional dan insiden itu juga bukan kali pertama dilalui Selangor.
Ketika musim 2006, dua pemain Selangor K Sanbagamaran dan Fairuz Montana Zainal Abidin cuba menyerang penyokong selepas dilempar kata-kata keji oleh penyokong sendiri namun berjaya dihalang pegawai keselamatan yang bertugas.
Namun, kedua-dua pemain itu tetap dihadapkan ke Lembaga Disiplin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan dikenakan tindakan sewajarnya sebelum memohon maaf secara terbuka terhadap kesalahan yang dilakukan mereka.
Pengurus Selangor, Zakaria Rahim mengesahkan berlakunya insiden itu di Paroi, tetapi menyifatkannya sebagai perkara peribadi dan tiada kaitan dengan kelab penyokong atau pun Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).
"Memang berlaku insiden membabitkan Shukor dan Indra, tetapi kami sentiasa mempunyai hubungan baik dengan tiga kelab penyokong Selangor dan tidak mempunyai sebarang masalah, ini adalah masalah individu yang perlu diselesaikan sendiri mereka yang terbabit, " kata Zakaria.
Kenyataan Zakaria jelas tidak menunjukkan kesungguhan pengurusan menyelesaikan masalah itu, dan seolah-olah FAS tidak belajar daripada insiden yang berlaku pada musim 2006.
Seharusnya terdapat usaha daripada pihak pengurusan pasukan untuk menyelesaikan perkara itu secara baik, kerana ia turut membabitkan Shukor selaku kapten pasukan dan juga skuad kebangsaan.
FAS kini harus mencari penyelesaian terbaik menangani insiden ini memandangkan insiden berlaku di luar perkarangan stadium yang tidak boleh membabitkan FAM. Sekiranya penyokong terbabit membuat laporan polis ia akan hanya mencemarkan imej pasukan Selangor yang penuh tradisi.