Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
14.07.08

Shukor, Indra serang penyokong

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

APA sudah jadi dengan bola sepak tempatan? Pemain bergaduh sesama sendiri biasa tetapi senario terbaru pemain pula menyerang penyokong.

Sebelum ini, jurulatih Hatem Souisi pun bertindak demikian apabila secara tiba-tiba menyerang penonton.

Di Eropah satu ketika dulu bintang Manchester United, Eric Cantona juga bertindak menyerang penonton.

Mungkin disebabkan bola sepak Malaysia terlalu mengikut gaya bola sepak England, sikap pemain dan penyokong pun terikut sama budaya tersebut.

Menariknya, insiden menyerang penonton ini berlaku di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi, Negeri Sembilan, tempat bekas jurulatih Negeri Sembilan itu menyerang penonton.

Kali ini, membabitkan dua pemain Selangor, Shukor Adan dan Indra Putra Mahayuddin yang bertindak melampau batas menyerang seorang penyokong sendiri.

Mungkin nak jadi Cantona agaknya. Namun, sikap seperti itu nampak tidak profesional kerana di Malaysia budaya seperti itu agak sukar untuk diterima.

Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 11 malam di pekarangan Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi selepas tamat perlawanan Piala Malaysia yang menyaksikan Selangor menewaskan Negeri Sembilan 2-1.

Mangsa, Ardenoo Alui, 29, diserang dan dipukul di kepala serta telinganya oleh Shukor dan Indra.

"Ketika itu pemain-pemain Selangor keluar dari bilik persalinan menuju ke bas. Apabila Shukor lalu, saya pun tegur dengan memanggil namanya.

"Tapi sapaan saya itu dibalas dengan perkataan mencarut dan setelah diprovokasi isterinya, Shukor terus menyerang saya," dakwanya kepada Kosmo! semalam.

Setelah dileraikan oleh penyokong-penyokong lain Ardeeno berkata, Indra pula entah dari mana datangnya terus melepaskan tumbukan tetapi dia berjaya mengelak lalu terkena bahagian telinganya.

Keadaan akhirnya berjaya dikawal dengan kehadiran anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

"Mereka berdua mungkin ada simpan dendam dan marah kepada saya kerana tahu sayalah yang menggantung banner di Stadium Shah Alam pada perlawanan menentang Melaka pada 3 Julai lalu.

"Tapi, sepatutnya mereka kenalah bersikap profesional, tak perlulah sampai nak pukul saya. Saya bukan buat provokasi pun malam tadi (kelmarin), cuma saya tegur namanya saja."

Justeru, kira-kira sejam selepas kejadian itu, Ardeeno terus membuat laporan polis di Balai Polis Rahang, Seremban kira-kira pukul 12.10 pagi semalam.

Pada 3 Julai lalu, Ardeeno dan beberapa rakannya menggantung banner yang berbunyi 'Dollah dan pemain, tiada jiwa Selangor, berambus' berikutan aksi hambar, sekali gus membangkitkan kemarahan di kalangan pemain yang 'terasa' sindiran itu.

Begitupun, andai tiada kata-kata keterlaluan yang dilemparkan, mungkin Shukor dan Indra tidak akan bertindak demikian.

Selalunya orang akan bertindak balas jika ada yang menjadi puncanya.

Sementara itu, kemenangan itu menghidupkan peluang mereka ke suku akhir menerusi jaringan sendiri pertahanan tuan rumah, Rahman Zabul pada minit ke-33 dan jaringan Indra pada minit ke-87 biarpun K. Ravindran menyamakan kedudukan pada minit ke-38.