18.07.08
Tekad Selangor
Oleh: Lokman Zainal Abidin (HARIAN METRO)
LAYAK ke suku akhir Piala Malaysia bukan alasan untuk skuad Selangor bersenang lenang dan pertemuan dengan Terengganu malam ini mahu dijadikan pentas untuk membuktikan bahawa mereka benar-benar berhak untuk mengisi salah satu daripada lapan slot ke peringkat berkenaan.
Lebih menarik lagi apabila skuad Gergasi Merah itu mahu semua anggapan negatif yang menyebut bahawa mereka layak ke suku akhir kerana faktor nasib adalah tidak benar sama sekali dan ia mahu dibuktikan di hadapan penyokong sendiri.
"Kami mahu menang di halaman sendiri ketika bertemu Terengganu malam esok (ini). Saya akan menurunkan kesebelasan utama dan terbaik. Kami mahu terus berada di persada Kumpulan A dan untuk itu, kami tidak mempunyai pilihan selain menang.
"Banyak faktor yang menyebabkan mengapa kami mahu mencapai keputusan positif malam esok. Antaranya, kami mahu menenggelamkan terus anggapan bahawa kami layak ke suku akhir disebabkan mata yang diberikan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan selepas kami menang kes bantahan terhadap Negeri Sembilan.
"Saya sudah berpesan kepada pemain supaya membuktikan bahawa kami layak disebabkan kami berhak dan bukannya kami bernasib baik kerana dibantu tiga mata itu," kata ketua jurulatih Selangor, Dollah Salleh.
Selangor selaku pendahulu Kumpulan A akan bertemu naib juara kumpulan, Terengganu di Stadium Shah Alam malam ini manakala dalam saingan Kumpulan C, Perak akan melayan kunjungan UPB/MyTeam di Stadium Perak, Ipoh dan Perlis bertemu Johor PBT di Stadium Utama Negeri, Kangar.
Saingan Kumpulan C itu menemukan semua empat pasukan teratas dan masing-masing terutamanya Perak dan Johor PBT tentunya tidak mahu turut ketinggalan dalam saingan untuk memburu slot ke suku akhir.