Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
06.07.08

Tekad Selangor

Oleh: Alias Abd. Rani (HARIAN METRO)

KEMARAHAN penyokong Selangor mungkin reda seketika tatkala dihadiahkan dengan kemenangan besar ke atas Melaka pada saingan Piala Malaysia, Khamis lalu.

Tapi, ia bukanlah jaminan sebenar terhadap skuad bimbingan Dollah Salleh seandainya dia dapat merobek kedukaan dengan meraih kemenangan pada perlawanan Piala Sultan Selangor, malam ini.

Itulah satu-satunya cara bagi membuktikan Selangor bukan pasukan cercaan dengan kemenangan ke atas skuad Pilihan Singapura kerana tahun lalu, skuad Pilihan Selangor tumbang 3-1.

Namun, Dollah masih dibayangi kehilangan beberapa tonggak utama ekoran kecederaan dan sudah pasti akan merencatkan usahanya membuat percaturan bagi menghadapi perlawanan penting itu.

"Macam-macam berlaku dalam pasukan saya. Ada yang cedera dan keletihan selepas melalui jadual perlawanan begitu padat.

"Jadi, saya belum membuat keputusan berkenaan siapa layak diturunkan dalam kesebelasan utama. Yang pasti, pilihan saya buat adalah yang terbaik.

"Saya tidak mahu lagi pemain saya diperbudak-budakkan Pilihan Singapura," katanya merujuk kepada kekalahan tahun lalu.