Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
16.08.08

4 pemain perlu elak kad kuning

Oleh: misai11 (SELANGORFC.COM)

EMPAT pemain Selangor perlu mengelak daripada dilayangkan kad kuning pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Johor FC di Stadium JCorp, Pasir Gudang malam ini, jika mahu beraksi di pentas final Sabtu depan.

Menurut Penolong jurulatih Selangor, Mohd. Rosedy Mohd Nadzir, keempat-empat mereka telah mendapat satu kad kuning sejak rekod kutipan kad dineutralkan semula bagi peringkat kalah mati bermula daripada saingan suku akhir lalu.

"Empat pemain tersebut ialah penjaga gol Mohd. Suffian Abd. Rahman, Evans Chisulo, Shukor Adan dan Amri Yahyah," katanya ketika dihubungi SELANGORFC.COM pagi tadi.

Rekod terkumpul kutipan kad kuning yang diterima para pemain sepanjang 10 perlawanan peringkat kumpulan secara liga sebelum ini tidak dibawa untuk saingan suku akhir, di mana kiraan baru telah dibuat bagi peringkat kalah mati itu.

Justeru, Suffian, Chisulo, Shukor dan Amri perlu mendisiplinkan diri mereka malam ini agar tidak kempunan untuk beraksi dalam final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu depan, andai Selangor berjaya menyingkirkan Johor FC.

Pada separuh akhir pertama Rabu lalu, Selangor menewaskan Johor FC 2-0 di Stadium Shah Alam hasil jaringan Safee Sali (m-18) dan R. Surendran (m-90+2).