31.08.08
Akmal tinggalkan skuad Selangor
Oleh: Mohd Fadzrie Hazis (BERITA HARIAN)
SELEPAS mengharungi kegagalan merangkul sebarang kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia musim lalu, beberapa pemain Selangor difahamkan bakal meninggalkan skuad juara 32 kali Piala Malaysia itu.
Bekas penyerang utama kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, adalah seorang daripada pemain yang mengesahkan akan meninggalkan Merah Kuning.
Akmal menjadi sandaran utama Selangor musim lalu sebelum kehadiran Frank Seator yang bergandingan dengan Safee Sali membataskan peluangnya dalam kesebelasan utama.
"Saya rasa sudah cukup dua musim bersama Selangor. Selama bersama Selangor, saya sentiasa memberi aksi terbaik walaupun gagal membantu memenangi sebarang kejuaraan.
"Kontrak semua pemain Selangor akan tamat esok (hari ini), dan setiap pemain menanti kata putus pihak pengurusan tetapi saya nekad untuk mencari cabaran bersama pasukan baru.
"Memang kekurangan aksi dalam kesebelasan utama membuatkan saya berasa terkilan, tetapi itu adalah hak jurulatih Dollah Salleh. Hanya selepas ini saya hanya mahu beraksi bersama pasukan yang memerlukan khidmat saya sebagai pemain utama," kata Akmal.
Akmal turut mengakui dua kelab - KL Plus dan Kuala Muda Naza sudah menyuarakan minat terhadapnya tetapi rundingan masih di peringkat awal dan belum ada sebarang perjanjian dimeterai.
Sementara itu dua lagi pemain Selangor, penjaga gol - Megat Amir Faisal dan pemain tengah, Fadzli Shaari kini turut menarik perhatian beberapa pasukan lain tetapi kedua-dua pemain itu mahu menanti kata putus Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) terlebih dulu.
"Sebenarnya saya selesa bersama Selangor tetapi segala-galanya terserah kepada pihak pengurusan FAS. Memang terdapat tiga pasukan yang sudah menyuarakan minat terhadap khidmat saya, tetapi saya ingin mengetahui keputusan FAS terlebih dulu.
"Banyak faktor lain perlu diambil kira apabila hendak menyertai pasukan baru dan bagi saya, penting mengetahui daripada jurulatih pasukan yang bakal saya sertai bahawa saya berada dalam perancangan mereka," kata Megat Amir.