Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
20.08.08

Amirulhadi tekad bantu Selangor rampas piala

Oleh: Mohd Fadzrie Hazis (BERITA HARIAN)

AKSI sulung di pentas perlawanan akhir Piala Malaysia Sabtu ini tidak membuatkan pemain tengah Selangor, Amirulhadi Zainal berasa gugup, sebaliknya ia menyemarakkan keazamannya untuk membantu Merah Kuning merampas kembali piala itu.

Anak kepada bekas pemain sayap Selangor, Zainal Nordin itu ketika usia mudanya kerap menyaksikan bapanya beraksi dalam saingan Piala Malaysia dan dia mengerti betapa pentingnya kejuaraan Piala Malaysia buat Selangor.

Justeru, merangkul Piala Malaysia adalah sasaran utamanya ketika ini selepas tewas kepada Kedah pada perlawanan akhir Piala FA Jun lalu serta gagal menjuarai Liga Super.

"Penampilan dalam final Piala Malaysia adalah saat yang paling saya nantikan dalam karier saya, dan walaupun ini adalah kali pertama saya ke perlawanan akhir bersama Selangor, saya mahukan ia berakhir dengan kejayaan.

"Selangor adalah pasukan yang sinonim dengan kejuaraan Piala Malaysia, dulu saya hanya menyaksikan bapa beraksi tetapi kini tiba masa untuk saya pula beraksi membantu Selangor melakar kejayaan.

"Secara peribadi, saya mahukan kejuaraan sulung Piala Malaysia buat diri saya dan ketika ini saya dan rakan-rakan sepasukan tertumpu kepada pertemuan dengan Kedah. Saya percaya Selangor mampu memberi aksi terbaik di Stadium Nasional, Sabtu ini," kata Amirulhadi.

Walaupun muncul antara pemain muda Selangor yang menyinar musim ini, Amirulhadi masih belum berpuas hati dengan pencapaiannya setakat ini kerana berasakan banyak lagi yang perlu dipelajari dan diperbaiki dalam permainannya.

Pemain tinggi lampai yang menerima pujian atas aksi cemerlangnya ketika mewakili skuad kebangsaan berdepan Chelsea bulan lalu itu, tidak menafikan hasratnya untuk beraksi di luar negara suatu hari nanti.

"Satu kelemahan yang ingin saya perbaiki segera ialah melakukan jaringan, dan saya akan cuba mengatasinya kerana sedar kadang kala saya kerap mensia-siakan peluang baik untuk menyudahkan jaringan.

"Pertemuan dengan Chelsea memang memberi keyakinan kepada saya, tetapi apa yang paling mahukan ialah peluang beraksi di luar negara, tidak kira sama ada di Eropah atau mana-mana negara Asia kerana pendedahan yang diperoleh pasti dapat mematangkan lagi permainan saya," kata Amirulhadi.