Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
13.08.08

Amri sudah tidak sabar

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

JIWA pemain serba boleh Selangor, Mohd. Amri Yahyah semakin bergelora menjelang pertemuan separuh akhir pertama saingan bola sepak Piala Malaysia menentang Johor FC di Stadium Shah Alam malam ini.

Hanya satu tekad pemain berusia 27 tahun berasal dari Tanjung Karang itu, iaitu mahu memastikan Selangor mendapat bekalan gol selesa untuk dibawa ke Pasir Gudang Sabtu ini.

"Memang saya sentiasa bersedia untuk main esok (malam ini). Tapi terpulang kepada jurulatih sama ada mahu menurunkan saya atau tidak.

"Cuma, jika diberi peluang beraksi, saya sentiasa bersemangat dan bergelora untuk memberikan aksi terbaik," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Namun, di mana posisi Amri bakal diletakkan malam ini masih menjadi teka-teki, sama ada dia akan bertindak di bahagian pertahanan kanan atau membantu jentera serangan.

"Belum tahu lagi (posisi mana). Dalam latihan pun saya main dua-dua posisi itu. Tapi yang pasti, kami mempunyai cara dan strategi untuk menumpaskan Johor FC," tegasnya.

Amri yang bakal bergelar bapa bulan depan menambah, sokongan penyokong setia Selangor sangat diharapkan bagi meningkatkan semangat juang mereka malam ini.

"Kepada penyokong, datanglah ramai-ramai. Kita dah sampai peringkat separuh akhir dan lagipun ini adalah perlawanan terakhir di Stadium Shah Alam untuk musim ini," jelasnya.

Mengikut rekod pertemuan Liga Super musim ini, Selangor terikat seri 1-1 dengan Johor FC di Shah Alam pada 21 November lalu mene- rusi jaringan penyamaan Amri tetapi tewas 2-3 di Pasir Gudang pada 26 April lalu.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Hamidin Mohd. Amin memberitahu, harga tiket untuk perlawa- nan malam ini tidak akan dinaikkan dan kekal pada harga RM10.

"Kaunter tiket (grandstand) akan dibuka mulai pukul 4.30 petang, manakala kaunter di sebelah pasar raya Giant akan dibuka mulai pukul 6 petang," katanya ketika dihubungi.