Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
25.08.08

Benteng punca Selangor tumbang

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

"MEMANG sebagai jurulatih, kekalahan pada pasukan adalah tanggungjawab jurulatih itu.

Demikian jelas jurulatih Selangor, Dollah Salleh yang mengakui bertanggungjawab dengan kekalahan 2-3 pasukannya kepada Kedah pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin.

Dollah berkata, kerapuhan benteng pertahanan Selangor menjadi punca kekalahan anak buahnya itu.

"Awal 20 minit pertama nampak kita lebih menguasai permainan. Tapi kesilapan pemain pertahanan yang mengubah corak permainan Kedah menjadi hebat.

"Tapi separuh masa kedua nampak kita bangkit semula dan cuba mendapatkan gol tetapi sudah agak terlewat. Keseluruhannya, kedua-dua pasukan beraksi dengan baik," jelas Dollah pada sidang media kelmarin.

Gol-gol Kedah dihasilkan menerusi Marlon Alex James pada minit ke-31, Nelson San Martin (32) dan Mohd. Fadly Baharom (37).

Manakala Selangor memperolehi gol hasil jaringan Frank Seator pada minit ke-17 dan Safee Sali (77).

Dollah menambah, kesilapan yang dilakukan pemain pertahanannya, Razman Roslan untuk gol ketiga Kedah sepatutnya tidak berlaku.

"Kesilapan yang sama seperti final Piala FA lepas, cuma pemain yang lain melakukannya. Bagi gol ketiga Kedah, satu kesilapan tak patut pemain pertahanan lakukan," katanya.

Diajukan soalan apakah perancangannya sepanjang empat bulan akan datang sebelum bermulanya musim baru Liga Malaysia pada Januari depan, Dollah dengan ringkas berkata: "Rehat..bercuti. Ada empat bulan lagi."

Dalam pada itu, penyokong Selangor pastinya berharapkan 'sentuhan' baru bagi musim depan supaya mereka tidak terus kepingin piala seperti yang dialami sepanjang tiga musim ini.

Buktinya, penyokong Selangor sendiri sudah bosan dan kurang berselera ke stadium apabila malam kelmarin, jumlah penyokong Selangor hanyalah sekitar 15,000 berbanding penyokong Kedah yang berjumlah 40,000 orang.