Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
25.08.08

Dollah kecewa pertahanan rapuh

Oleh: Alias Abd Rani (HARIAN METRO)

BERKERUT wajah jurulatih Selangor, Dollah Salleh melihat anak buahnya sekali lagi tersungkur dalam misi merampas Piala Malaysia selepas tunduk 2-3 kepada juara bertahan, Kedah dalam final klasik di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.

"Corak permainan kami cuma bertahan kira-kira 10 hingga 20 minit saja. Selepas itu, segalanya berubah, itulah yang membuatkan saya begitu kecewa.

"Tapi separuh masa kedua, pemain mula bangkit tapi sayangnya, semua sudah terlambat. Kami banyak melakukan kesilapan terutamanya di bahagian pertahanan hingga membuka ruang kepada lawan menyumbat gol.

"Kealpaan sering berlaku ke atas pemain ketika kami sudah mendahului. Tapi, inilah dikatakan bola sepak yang membuktikan piala itu bukan milik kami," katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhan pemainnya sudah memberikan persembahan terbaik terutamanya dalam buruan gol penyamaan walaupun gagal.

"Saya tidak boleh cakap apa-apa lagi. Mungkin faktor kepenatan pemain menjadi salah satu penyumbang kepada kekalahan ini," katanya.