15.08.08
Dollah khuatir Selangor masih belum selamat
Oleh: Mohd Fadzrie Hazis (BERITA HARIAN)
BEKALAN dua gol harus dianggap satu modal selesa, namun bagi jurulatih Selangor, Dollah Salleh dia tetap meluahkan rasa kurang puas hati selepas menganalisis aksi keseluruhan barisannya selepas saingan separuh akhir pertama, Piala Malaysia, kelmarin.
Pengendali itu yang mencanang kemenangan 2-0 ke atas Johor FC di Stadium Shah Alam akur betapa dua gol belum mampu memberi sebarang jaminan bagi anak didiknya memasang impian mahu layak ke final sebaliknya minta pemain memberi tumpuan mengekalkan rentak itu dalam perlawanan kedua di Stadium JCorp, esok.
"Kami beraksi di bawah tahap kemampuan sebenar malam ini (kelmarin), seharusnya kami menjaringkan lebih daripada dua gol kerana banyak peluang berjaya dicipta dan hanya tindakan penyudah masih menghampakan.
"Pemain harus sedar Johor FC kebal di tempat sendiri, dan mereka juga mampu bangkit seperti yang ditunjukkan mereka ketika menyingkirkan UPB-MyTeam pada suku akhir lalu. Kerana itu saya tidak mahu pemain mengambil mudah perlawanan kedua Sabtu ini (esok)," kata Dollah ketika di temui selepas perlawanan kelmarin.
Walaupun gembira penyerang utama, Safee Sali berjaya menamatkan kemarau enam perlawanan tanpa jaringan, Dollah tetap mahukan penyerang kebangsaan itu untuk meneruskan usaha meningkatkan kembali prestasinya ke tahap terbaik.
"Memang Safee berjaya menamatkan kemarau jaringan tetapi dia turut melepaskan beberapa peluang untuk menambahkan jaringan. Kami akan menumpukan perhatian untuk meningkatkan kembali tindakan penyudah barisan serangan menjelang perlawanan kedua nanti," katanya lagi.
Sementara itu, jurulatih Johor FC Ramlan Rashid mengakui pasukannya kurang mencipta peluang gol pada pertemuan kelmarin dan mereka harus meningkatkan kembali tahap permainan mereka jika mahu menempah tiket ke perlawanan akhir.
"Sepanjang 90 minit perlawanan pasukan saya gagal mencipta peluang gol yang baik, malah kami juga gagal mengancam benteng Selangor yang beraksi dengan baik untuk menyekat segala gerakan kami ke kawasan mereka.
"Kami juga sukar melakukan gerakan di sebelah sayap kerana ketiadaan Nurul (Azwan Roya) yang tercedera dan Khairi (Kiman) yang menjalani pergantungan satu perlawanan. Tetapi peluang kami ke final masih ada, dan kehadiran semula Khairi Sabtu ini (esok) pasti akan menguatkan kembali pasukan kami," kata Ramlan.