20.08.08
Dollah pening
Oleh: Lokman Zainal Abidin (HARIAN METRO)
TIGA hari menjelang aksi final Piala Malaysia menentang juara bertahan, Kedah, skuad Selangor kembali diulit ‘masalah’ tetapi ketua pengendali, Dollah Salleh mempunyai alasan kukuh untuk melakar senyuman lebih lebar.
Mana tidaknya, semua 20 pemain sedang berebut mempamer kehebatan masing-masing dengan harapan nama mereka tersenarai dalam kesebelasan utama, Sabtu ini.
Apa yang berlaku itu memang memeningkan Dollah tetapi beliau pantas menghambur rasa gembira kerana pemainnya mula menunjukkan semangat juang tinggi.
"Semua pemain mahu nama mereka berada dalam senarai kesebelasan utama dan sebagai jurulatih, sudah tentu saya gembira dengan semangat yang mereka tunjukkan. Masalah yang timbul sekarang ialah bagaimana saya mahu membuat pemilihan.
"Banyak faktor yang perlu saya perhatikan kerana kami tidak rela lagi tewas di tangan Kedah dan kami mahu merealisasikan hasrat untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu piala untuk musim ini," kata Dollah.
Dollah menjangkakan beliau akan hanya dapat melengkapkan senarai kesebelasan utama Selangor secepat-cepatnya Khamis ini.
"Perkara sebegini amat jarang berlaku dan saya yakin semuanya berpunca daripada semangat pemain yang kini meluap-luap dan mereka begitu dahagakan gelaran selaku juara Piala Malaysia," katanya.