13.08.08
Dollah tagih pemain cari bekalan selesa
Oleh: Mohd Fadzrie Hazis (BERITA HARIAN)
AKSI persembahan yang jauh lebih baik ditagih jurulatih Selangor, Dollah Salleh terhadap pemainnya pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia berdepan Johor FC malam ini, andai mahu impian ke final menjadi kenyataan.
Dollah turut berasa pasukannya tidak boleh mengulangi kesilapan di suku akhir pertama, apabila hanya mampu seri 0-0 dengan Polis kerana Johor FC adalah pasukan yang mampu bangkit di tempat sendiri.
"Ketika berdepan Polis, kami mensia-siakan banyak peluang jaringan pada suku akhir dan saya berharap pemain kini sedar mereka tidak seharusnya melepaskan peluang untuk ke perlawanan akhir.
"Apa yang penting adalah mereka meningkatkan kembali permainan dalam perlawanan esok (malam ini), dan mencari bekalan jaringan selesa sebelum bertandang ke Pasir Gudang.
"Saya berharap apa yang berlaku kepada UPB-Myteam ketika tewas kepada Johor FC dapat dijadikan iktibar oleh pemain. Saya percaya jika setiap pemain fokus sepanjang perlawanan, kami mampu mendapat bekalan gol selesa."
Bekas penyerang kebangsaan itu turut berharap penyerang utamanya, Safee Sali kini lebih menumpukan perhatian terhadap membantu kemenangan pasukan daripada berusaha menamatkan kemarau jaringannya dalam saingan Piala Malaysia.
"Memang Safee ketika ini melalui enam perlawanan tanpa jaringan, tetapi apa yang penting ialah dia harus memberi keutamaan memastikan kemenangan pasukan daripada kejayaan peribadi.
"Saya tidak mahu dia berfikir jika dia gagal melakukan jaringan bererti dia beraksi hambar, kerana itu akan hanya menambah tekanan kepada dirinya dan menyukarkannya memberi aksi terbaik.
"Saya percaya jika dia tidak terlalu memikirkan jaringan, tekanan akan berkurangan dan peluang pasti menjelma dalam saingan separuh akhir ini," kata Dollah.
Dollah dijangka mengekalkan gandingan Evans Chisulo, Razman Roslan, D Surendran dan Asraruddin Putra Omar di bahagian benteng memandangkan pemain bek tengah, Nazrulerwan Makmor masih belum pulih daripada jangkitan mata.