Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
24.08.08

Final Piala Malaysia: Kedah 3-2 Selangor

Oleh: misai11 (SELANGORFC.COM)

ENAM minit jahanam!

Begitulah yang berlaku pada aksi final Piala Malaysia 2007/08 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi apabila tiga jaringan Kedah dalam tempoh enam minit membolehkan mereka menewaskan Selangor 3-2.

Kemenangan itu juga menjadikan Kedah sebagai pasukan pertama mencipta kejayaan mempertahankan ketiga-tiga kejuaraan, Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Super yang dimenangi mereka pada musim sebelumnya.

Namun pada aksi malam tadi, Selangor terlebih dahulu berjaya menghasilkan gol menerusi jaringan Frank Seator yang menolak masuk bola muntah hasil sepakan percuma Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-17.

Selangor yang menguasai permainan sepanjang 20 minit pertama bagaimanapun gagal mengekalkan rentak cemerlang mereka itu apabila membenarkan Kedah menyamakan kedudukan pada minit ke-31 hasil jaringan Marlon Alex James.

Gol berpunca daripada hantaran leret Nelson San Martin dari tengah padang yang gagal dipintas pertahanan Selangor, Razman Roslan, sekali guas ia memudahkan tugas Marlon melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol, Suffian Ab. Rahman.

Seminit kemudian, giliran San Martin sendiri melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti yang terkena palang atas lalu menerjah masuk dan gagal diselamatkan Suffian untuk Kedah mendahului 2-1.

Pada minit ke-37, kesilapan Razman membiarkan bola kawalannya dirampas Badrol Bakhtiar telah membuka ruang buat Fadly Baharom yang mudah menjaringkan gol ketiga Kedah.

Babak kedua bermula, Selangor yang ketinggalan 1-3 cuba mencari gol kedua secepat mungkin bagi menghidupkan peluang mereka.

Tiga pertukaran dilakukan jurulatih Selangor, Dollah Salleh dengan memasukkan Amirul Hadi Zainal menggantikan D. Surendran (m-59), R. Surendran menggantikan Elie Aiboy (m-65) dan Fadzli Shaari menggantikan Indra Putra Mahayuddin (m-72).

Namun, gol kedua yang dicari hanya berjaya diperolehi mereka menerusi penyudah cantik Safee Sali pada minit ke-77 yang sama sekali gagal diselamatkan penjaga gol Kedah, Helmi Eliza Elias.

Masih ketinggalan 2-3, Selangor terus berusaha mencari gol penyamaan pada baki 13 minit terakhir bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan, namun usaha mereka itu terus buntu sehinggalah wisel penamat ditiup pada minit ke-94.

SELANGOR:

21-SUFFIAN ABDUL RAHMAN, 19-D.SURENDRAN (24-AMIRUL HADI ZAINAL), 4-EVANS CHISULO, 3-RAZMAN ROSLAN, 27-ASRARUDDIN PUTRA OMAR, 8-ELIE AIBOY (11-R.SURENDREN), 23-INDRA PUTRA MAHAYUDDIN (20-FADZLI SHAARI), 25-SHUKOR ADAN, 17-AMRI YAHYAH, 9-FRANK SEATOR 10-SAFEE SALI.