Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
23.08.08

Kekuatan seimbang

Oleh: Shahril Nizam Abdullah (KOSMO!)

JIKA dibandingkan prestasi antara Selangor dengan Kedah, skuad Kenari mungkin lebih handal.

Namun jika dilihat kepada sejarah kempen bola sepak Piala Malaysia, kejayaan skuad Red Giant mungkin lebih ketara.

Berdasarkan rekod pertemuan musim ini, Kedah mungkin dilihat lebih berpeluang berbanding Selangor selepas mereka menang semua tiga perlawanan termasuk menewaskan Red Giant 3-2 pada perlawanan akhir Piala FA baru-baru ini.

Namun bagi jurulatih Selangor, Dollah Salleh pula rekod tersebut semuanya tidak membawa sebarang makna kerana ia hanya penilaian di atas kertas dan tidak relevan dikira pada perlawanan akhir malam ini.

"Lupakan saja rekod pertemuan antara Selangor dan Kedah kerana malam esok (malam ini) adalah satu pertemuan yang berbeza," kata Dollah pada sidang media di Stadium Nasional di Bukit Jalil semalam.

"Kami sedar Kedah pastinya berhajat untuk menjulang trofi ini sekali gus mempertahankan kejuaraan treble buat musim kedua berturut-turut, tapi saya mahu katakan bahawa hajat mereka itu bukan mudah untuk dicipta.

"Selangor pastinya akan menyekat hajat Kedah kerana kami juga mahu memenangi satu trofi selepas kecewa dalam Piala FA baru-baru ini. Kami memang berazam menjulang Piala Malaysia ," kata Dollah lagi.

Dollah juga yakin anak buahnya sudah bersedia untuk menyekat hajat Azraai dan anak buahnya malam ini biarpun masih tercari-cari strategi terbaik untuk disajikan.

"Saya akui Kedah adalah pasukan yang paling banyak mempamerkan peningkatan sejak dua musim lalu, dan mereka juga memiliki pemain import yang terbaik dalam Liga Malaysia.

"Tapi, kami juga tidak kurang hebatnya. Kami memiliki pemain yang berpengalaman seperti Indra Putra, Frank Seator, Safee Sali dan Shukor Adan, jadi ia mungkin seimbang.

"Cuma yang meresahkan saya ketika ini ialah situasi Nazrul Irwan yang masih belum cergas sepenuhnya. Bagaimanapun saya tetap akan menurunkan skuad terkuat malam esok (malam ini), cuma masih belum putuskan lagi siapa yang akan diturunkan," ujar Dollah lagi.