23.08.08
Milik siapa Piala Malaysia?
Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)
MILIK siapa Piala Malaysia musim ini?
Adakah ia akan terus berada dalam dakapan Kedah atau beralih tangan ke Selangor.
Persoalan ini hanya akan terjawab apabila Kedah menantang Selangor pada perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia di Stadium Nasional di Bukit Jalil malam ini.
Di sebalik saingan di tengah padang, pertarungan sebenar pada aksi kemuncak itu adalah antara jurulatih Selangor, Dollah Salleh dan jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah yang akan tampil untuk membuktikan siapa lebih bijak mengatur strategi dan taktikal.
Dollah, yang akan genap berusia 45 tahun pada 23 Oktober depan mempunyai reputasi cemerlang ketika membimbing MPPJ muncul juara Piala Malaysia 2003 selain meraih tiga piala bersama Selangor pada 2005.
Azraai pula, yang akan genap berusia 56 tahun pada 25 Oktober depan memulakan kehebatannya membimbing Kedah muncul naib juara Piala Malaysia 2004, meraih tiga piala pada musim 2006/07 serta menjuarai Piala FA dan Liga Super musim ini.
Berdasarkan reputasi yang telah dikecapi itu, kedua-dua jurulatih ini dianggap sebagai paling berbisa dalam kancah bola sepak tempatan ketika ini.
Namun, Azraai dan Kedah dianggap memiliki kelebihan tersendiri kerana menguasai kejuaraan sepanjang dua musim terakhir ini sedangkan Dollah dan Selangor pula kali terakhir melakukannya ketika menjulang Piala Malaysia 2005.
Dari segi rekod pertemuan antara Kedah dan Selangor, skuad Hijau Kuning mempunyai kelebihan.
Daripada 10 pertemuan mereka sejak musim 2005, Kedah telah menang tujuh kali manakala Selangor hanya menang sekali.
Dua lagi pertemuan berakhir dengan seri.
Di atas kertas, Dollah jelas dilihat tidak mampu mengatasi kehebatan Azraai daripada aspek berkenaan tetapi harus diingat sejarah telah membuktikan Selangor tidak pernah tewas pada lima perlawanan akhir Piala Malaysia terakhir mereka pada tahun 1995, 1996, 1997, 2002 dan 2005.
Yang pasti, persoalan sama ada mampukah Dollah mengatasi Azraai bagi menidakkan double treble Kedah hanya bakal terjawab sejurus selepas pengadil meniupkan wisel penamat pada aksi malam ini.