16.08.08
Moral Selangor di tahap terbaik
Oleh: Mohd Fadzrie Hazis (BERITA HARIAN)
PENYERANG Selangor, Safee Sali berasa moral pasukannya kini di tahap terbaik dan yakin setiap pemain akan melaksanakan tanggungjawab apabila berdepan Johor FC pada separuh akhir kedua Piala Malaysia, malam ini.
Safee berkata, trio import Selangor - Frank Seator, Elie Aiboy dan Evans Chisulo - juga berikrar memberikan aksi terbaik memandangkan ia adalah musim terakhir mereka ekoran pembekuan khidmat import, musim depan.
"Suasana dalam pasukan kini amat baik, setiap pemain kelihatan berazam untuk membawa Selangor ke perlawanan akhir dan bagi saya, ia adalah satu perkembangan positif.
"Apa yang menggembirakan ialah rakan-rakan import juga bertekad membantu dan pengumuman pembekuan khidmat import musim depan sekadar meningkatkan lagi semangat mereka.
"Frank, Elie dan Evans juga memberitahu mereka akan berhabis-habisan kerana mahu mara ke perlawanan akhir dan memberi hadiah kejuaraan Piala Malaysia ini kepada peminat setia Selangor sebelum meninggalkan pasukan ini," kata Safee.
Begitupun, dia menegaskan pemain tidak sesekali memandang rendah keupayaan Johor FC kerana sikap terlalu yakin pasti mengundang padah.
"Setiap pemain menyedari Johor FC adalah lawan yang liat di tempat sendiri, dan kami harus bersedia untuk memberikan aksi lebih baik daripada perlawanan pertama di Shah Alam.
"Saya sendiri perlu meningkatkan prestasi kerana walaupun menamatkan kemarau jaringan pada separuh akhir pertama, saya masih terlepas beberapa peluang jaringan dan kesilapan itu tidak harus diulangi esok (malam ini)," kata Safee.
Penyerang kebangsaan itu juga menyimpan hasrat peribadi untuk beraksi dalam perlawanan akhir Piala Malaysia pertama sepanjang kariernya, dan tidak mahu melepaskan peluang.
Penampilan di perlawanan akhir Piala FA Jun lalu adalah kemunculan pertamanya di perlawanan akhir, namun ia berakhir dengan kekecewaan apabila tewas 2-3 kepada Kedah.