Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
16.08.08

Padang JCorp berisiko cedera

Oleh: UTUSAN MALAYSIA

BUKAN Johor FC yang dibimbangkan oleh pengurus Selangor, Zakaria Ab. Rahim, sebaliknya keadaan gelanggang lawan, Stadium JCorp, Pasir Gudang yang mampu menyulitkan laluan anak buahnya ke perlawanan akhir persaingan bola sepak Piala Malaysia.

Zakaria turut melihat betapa berisikonya padang berkenaan terhadap kesihatan pemain Gergasi Merah sedangkan tuan rumah bakal memanfaatkan keadaan itu seperti mana mereka menghukum UPB-MyTeam 5-1 pada suku akhir kedua, minggu lalu dan mara menerusi agregat 6-4.

Mengenai peluang Selangor memburu Piala Malaysia ke-33, selepas mendahului 2-0 daripada separuh akhir pertama, katanya, ada kawasan padang yang tidak rata dan mampu membawa kecederaan pada pemain jika tidak berhati-hati. Saya pasti lawan akan lebih yakin untuk mengambil kesempatan dan kelebihan mereka itu.

"Saya juga bimbangkan kesihatan pemain tengah kami seperti Fadzli Saari yang baru pulih daripada pembedahan lutut dan hanya bermain sepenuh masa sejak menentang Melaka (peringkat kumpulan lalu). Mungkin rentak permainan kami turut terjejas (separuh akhir kedua malam ini)," katanya.

Zakaria juga tidak menolak kemungkinan pasukannya membuat sedikit rombakan di barisan tengah bagi menyesuaikan diri dengan keadaan padang sebegitu sekali gus dijangka tidak mengekalkan kesebelasan utama yang cemerlang di Shah Alam, Rabu lalu menerusi gol Safee Sali dan R. Surendren.

"Prestasi di Stadium Shah Alam itu turut membuktikan kemantapan barisan belakang kami yang berjaya mengadang sebarang kemasukan bola dan gerakan lawan ke kotak penalti. Cuma mungkin bahagian tengah kali ini memerlukan sedikit perubahan," katanya.

Setelah cuma muncul keempat Liga Super dan kempunan Piala FA kepada Kedah, Merah Kuning bimbingan Dollah Salleh begitu mengidamkan Piala Malaysia sebagai penawar duka malah mungkin menempah pertemuan semula dengan Si Kenari yang mendahului Terengganu 3-0 di Alor Star.