Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
11.08.08

Penjaga gol Selangor individu paling lega

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

ANDAI Selangor tewas kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Selayang malam kelmarin, pemain paling berasa bersalah pastinya penjaga gol Selangor, Suffian Abdul Rahman.

Ini kerana, ketika Selangor mendahului 2-1, pintu gol yang dikawal Suffian bolos dua kali dalam tempoh dua minit untuk membolehkan PDRM mendahului 3-2 ketika perlawanan berbaki 10 minit.

"Memang agak malang selepas PDRM memperoleh gol menerusi sepakan percuma Norfarhan Muhammad (minit ke-78).

"Dua minit selepas itu pula, bola rembatan pemain PDRM dari luar kotak penalti juga terbias dan saya gagal menangkap kemas dan Noh Alam Shah terus menolak masuk.

"Perasaan ketika itu kecewa teramat sangat tetapi saya tak terus patah semangat sambil menaruh keyakinan kepada jentera serangan mencari gol penyamaan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Keyakinan Suffian itu berbaloi apabila Selangor akhirnya memperoleh sepakan penalti pada minit ke-87 yang disempurnakan Frank Seator untuk mengikat kedudukan 3-3, sekali gus Selangor menang menerusi kelebihan gol di tempat lawan.

Menjelang pertemuan separuh akhir pertama bertemu Johor FC di Stadium Shah Alam Rabu ini, Suffian menyatakan kesediaan dan keyakinan untuk terus mengawal pintu gol Selangor bagi memastikan pasukannya beraksi pada perlawanan akhir, 23 Ogos depan.

"Insya-Allah, dengan kesungguhan semua pemain, Selangor mampu ke final. Jadi, mungkin kita berpeluang membalas dendam terhadap Kedah jika mereka juga mara ke final," ujar penjaga gol berusia 30 tahun itu.