Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
19.08.08

Pertemuan klasik dua kuasa lama

Oleh: Mohd Fadzrie Hazis (BERITA HARIAN)

PERTEMBUNGAN perlawanan akhir Piala Malaysia Sabtu ini akan menemukan ‘kuasa lama’ bola sepak negara, Selangor dan Kedah yang kini semakin mendominasi saingan domestik Liga M.

Jurulatih Selangor, Dollah Salleh mengakui lawan di final kali ini bukan lawan yang mudah untuk ditundukkan tetapi memberi jaminan barisan Merah Kuning akan berjuang habis-habisan untuk menafikan impian Kedah mempertahankan kejuaraan.

Bekas penyerang kebangsaan itu juga mahu anak buahnya memanfaatkan peluang kedua final ini untuk menebus kekalahan 3-2 kepada lawan yang sama pada perlawanan akhir Piala FA Jun lalu.

"Memang Kedah adalah barisan mantap, dan saya akui mereka pasukan yang paling sukar untuk ditewaskan musim ini dengan barisan pertahanan mantap, bahagian tengah yang sentiasa berfungsi dan barisan serangan yang tajam.

"Tetapi kami juga adalah pasukan yang mempunyai tradisi tersendiri dalam sejarah Piala Malaysia, dan saya mahu pemain bersedia untuk melipatgandakan usaha apabila berdepan Kedah.

"Kami gagal melakukannya di Piala FA, tetapi kini berpeluang menebus kekalahan itu di Piala Malaysia dan saya mahu pemain menggunakan peluang ini sebaik mungkin," kata Dollah.

Namun, Dollah tetap berasakan pasukannya gagal memberi aksi terbaik ketika berdepan Johor FC pada peringkat separuh akhir kedua minggu lalu dan mengakui pemainnya harus segera meningkatkan kembali permainan masing-masing.

"Jika pemain mahu muncul juara, mereka tidak boleh beraksi seperti ketika berdepan Johor FC . Kami mampu beraksi lebih baik dan saya berharap mereka akan melakukannya Sabtu ini," kata Dollah.