13.08.08
Piala Malaysia: Selangor 2-0 Johor FC
Oleh: misai11 (SELANGORFC.COM)
JARINGAN pemain gantian, R. Surendren pada masa kecederaan begitu bermakna buat Selangor menewaskan Johor FC 2-0 pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam tadi.
Defisif dua gol itu sememangnya amat diperlukan Selangor untuk dijadikan bekalan selesa ke Stadium JCorp, Pasir Gudang bagi perlawanan separuh akhir kedua Sabtu ini.
Selangor yang menguasai permainan sebaik wisel permulaan ditiup berjaya memperolehi gol pertama pada minit ke-18 menerusi Safee Sali yang menyudahkan hantaran leret Indra Putra Mahayuddin dari sebelah kanan.
Pada minit ke-41, Frank Seator nyaris menambah jaringan Selangor tetapi rembatan kencangnya dari luar kotak penalti sekadar menggegarkan palang gol Johor FC.
Separuh masa kedua, Selangor terus menguasai permainan dengan Johor FC dilihat terus gagal menghadirkan percubaan tepat yang merbahaya untuk mencabar Suffian Abdul Rahman di gawang gol.
Selangor pula sekali lagi hampir memperolehi gol kedua pada minit ke-58 tetapi hantaran silang Safee dari sebelah kiri gagal ditolak masuk Elie Aiboy tatkala penjaga gol Johor FC, Anis Faron Arsidi sudah pun tertewas.
Lantas, Selangor melakukan tiga pertukaran selepas itu dengan memasukkan Amri Yahyah menggantikan Amirul Hadi Zainal (minit ke-59), Fadzli Shaari menggantikan Indra (minit ke-79) dan R. Surendren menggantikan Safee (minit ke-87).
Ketika masa kecederaan selama tiga minit diberikan, Surendren yang baru dimasukkan membalas kepercayaan apabila berjaya menolak masuk hantaran leret Amri dari sebelah kiri untuk gol kedua Selangor pada minit ke-92.
Seminit kemudian, wisel penamat dibunyikan pengadil untuk menamatkan perlawanan yang menampilkan Seator, Elie dan Evans Chisulo buat kali terakhir beraksi di Stadium Shah Alam kerana musim depan, Liga Malaysia tidak melibatkan pemain import lagi.
Selepas perlawanan, ketiga-tiga pemain import terbabit dilihat melambai-lambai untuk memberikan ucapan terima kasih buat kali terakhir dan sempat berpelukan dengan beberapa penyokong Merah Kuning yang melompat masuk ke kawasan trek stadium.
SELANGOR:
21-SUFFIAN ABDUL RAHMAN, 19-D.SURENDRAN, 4-EVANS CHISULO, 3-RAZMAN ROSLAN, 27-ASRARUDDIN PUTRA OMAR, 8-ELIE AIBOY, 23-INDRA PUTRA MAHAYUDDIN (20-FADZLI SHAARI), 25-SHUKOR ADAN, 24-AMIRUL HADI ZAINAL (17-AMRI YAHYAH), 9-FRANK SEATOR, 10-SAFEE SALI (11-R.SURENDREN).