12.08.08
Safee mahu tamat kemarau
Oleh: Mohd Fadzrie Hazis (BERITA HARIAN)
KETANDUSAN jaringan sejak enam perlawanan lalu, meningkatkan keazaman penyerang Selangor Safee Sali untuk menamatkan badi jaringannya pada separuh akhir pertama Piala Malaysia apabila berdepan Johor FC, malam esok.
Namun, penyerang kebangsaan itu mengakui ia bukan tugas mudah berdepan Johor FC yang disifatkan sebagai sebuah pasukan bukan pilihan yang mampu melakukan kejutan jika diberi peluang.
"Memang kegagalan menemui sasaran gol mengecewakan saya selaku seorang penyerang, tetapi saya akan terus meningkatkan usaha untuk menamatkan kemarau jaringan ini.
"Saya tidak berasa tertekan ketika ini, kerana saya tetap menerima sokongan rakan sepasukan dan mereka sentiasa berusaha mencipta ruang untuk saya melakukan jaringan ketika perlawanan.
"Tetapi ia bukan mudah apabila berdepan Johor FC kerana mereka adalah lawan yang liat dan pasti Selangor memerlukan aksi terbaik untuk menangani ancaman mereka," kata Safee.
Safee berasa tahap moral pemain Merah Kuning kini berada di tahap terbaik, dan setiap pemain berusaha meningkatkan mutu permainan masing-masing sebelum berdepan Johor FC di Stadium Shah Alam, malam esok.
Bekas penyerang Kuala Lumpur dan Sarawak itu turut mengakui Selangor tidak harus mengulangi kesilapan seperti ketika berdepan Polis dalam perlawanan suku akhir pertama yang berakhir 0-0.
"Kami kini sudah mara ke separuh akhir, dan saya percaya setiap pemain tahu kami tidak boleh mempersiakan peluang untuk mengesahkan tempat ke perlawanan akhir pula.
"Saya merasakan kami juga perlu mendapatkan bekalan jaringan selesa pada perlawanan pertama, kerana Johor FC memang kebal di tempat sendiri dan rekod kami juga tidak begitu baik Stadium JCorp," katanya yang berharap Selangor bertemu juara bertahan Kedah di final bagi menebus kekalahan 3-2 dalam perlawanan akhir Piala FA, Jun lalu.