Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
23.08.08

Safee nak gegar gawang

Oleh: Drahman Baharun (KOSMO!)

PENYERANG sensasi Selangor, Mohd. Safee Sali berazam untuk membolos gawang Kedah yang diterajui Helmi Eliza Elia pada perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia menentang Kedah di Stadium Nasional di Bukit Jalil malam ini.

Katanya, Helmi adalah penjaga gol terbaik setakat ini dan dia memang sukar untuk ditewaskan.

Malah dia turut mengakui menjaringkan gol pada perlawanan akhir adalah saat yang tidak akan dapat dilupakan sejak bergelar pemain bola sepak profesional.

"Saya akan bekerja keras untuk membolos gawang lawan sekali gus menghadiahkan kemenangan buat Selangor," katanya.

Penyerang prolifik itu telah menjaringkan lima gol pada saingan Piala Malaysia dan 11 gol sepanjang aksi Liga Super musim ini.

Safee berkata, dia kini berada dalam keadaan terbaik dan bebas daripada sebarang kecederaan.

"Saya sudah bersedia seratus peratus untuk menggempur kubu pertahanan pasukan lawan."

Mengenai siapa yang bakal digandingkan dengannya pada perlawanan akhir itu, Safee berkata dia tidak kesah siapa kerana yang penting mereka mampu menghadiahkan kemenangan buat Selangor.

"Setakat ini, saya tidak tahu siapa yang bakal diturunkan saya. Kemungkinan saya akan berganding sama ada dengan Frank Seator atau Amri Yahyah. Terpulang kepada jurulatih, Dollah Salleh," katanya.