Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
21.08.08

Selangor ada keistimewaan tersendiri

Oleh: Mohd Fadzrie Hazis (BERITA HARIAN)

DUA penampilan dalam perlawanan akhir sebelum ini berakhir dengan kejayaan menjulang kejuaraan Piala Malaysia, dan kapten Selangor, Shukor Adan mengharapkan kemunculan ketiganya apabila berdepan Kedah Sabtu ini, turut berakhir dengan kejayaan buat Selangor.

Namun, pemain kelahiran Masjid Tanah itu mengakui terdapat perbezaan dalam skuad Selangor kini berbanding ketika dia bersama barisan Merah Kuning yang muncul juara pada 2002 dan 2005.

"Ketika musim 2002, Selangor ketika itu dibarisi pemain berpengalaman seperti Azman Adnan, Lim Chan Yew dan Azmin Azram Aziz manakala skuad 2005 diwakili pemain yang bermain sebagai satu unit serta kehadiran pemain import mantap seperti Bambang Pamungkas dan Brian Fuentes.

"Pada musim 2005 juga, kami berada di tahap terbaik selepas menjuarai Liga Perdana dan Piala FA, sekali gus memberi keyakinan tinggi kepada pemain menjelang final bertemu Perlis.

"Aksi perlawanan akhir kali ini pula memberi cabaran berbeza kepada pemain, kerana selepas gagal dalam saingan Liga Super dan Piala FA, ini adalah peluang terakhir kami menamatkan musim ini dengan kejayaan untuk dihadiahkan kepada penyokong kami," kata Shukor.

Shukor bertekad mahu memastikan aksi ketiga bersama Selangor di final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini, berakhir dengan kejayaan, malah berasa barisan pemain kali ini turut mempunyai keistimewaan tersendiri.

Baginya, walaupun Kedah kelihatan mantap sepanjang musim, dia tetap yakin skuad Dollah Salleh kali ini mampu mencapai prestasi kemuncak kerana setiap pemain tahu betapa besar erti kejayaan Piala Malaysia buat Selangor kali ini.

"Masih terdapat beberapa pemain seperti Elie (Aiboy), Amri (Yahyah), D Surendran dan Razman (Roslan) dari skuad 2005, dan pemain muda seperti Asraruddin (Putra Omar) dan Amirulhadi (Zainal) kini semakin matang.

"Ini adalah keistimewaan skuad kali ini kerana jurulatih menggabungkan pemain berpengalaman dan beberapa pemain muda yang berpotensi. Kedah mungkin pasukan pilihan, tetapi Piala Malaysia adalah pertandingan berbeza.

"Ia sentiasa membuatkan Selangor melonjak ke aksi terbaik, walaupun di atas kertas Kedah kelihatan lebih kuat, sejarah Piala Malaysia sebelum ini pernah membuktikannya ia berakhir sebaliknya," kata Shukor.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) akan mula membuka kaunter jualan tiket final itu di Stadium Shah Alam hari ini hingga Jumaat dari jam 10 pagi hingga 7 petang bagi memudahkan penyokong Selangor membeli tiket.