12.08.08
Selangor tagih pemain ‘ke-12’
Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)
SELANGOR menagih sentuhan pemain ‘ke-12’ apabila turun melayan kunjungan Johor FC pada saingan separuh akhir pertama bola sepak Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam esok.
Pengurus Selangor, Zakaria Ab. Rahim berkata adalah satu kerugian buat penyokong setia Selangor untuk tidak turun ke stadium kerana ia merupakan perlawanan terakhir di stadium berkenaan buat pemain-pemain import Selangor.
"Selepas ini perlawanan kedua akan diadakan di Pasir Gudang Sabtu ini. Jika berjaya ke perlawanan akhir pun, kita akan bermain di Stadium Nasional Bukit Jalil.
"Jadi, perlawanan inilah yang terakhir untuk kita lihat kelibat Frank Seator, Elie Aiboy dan Evans Chisulo beraksi di Stadium Shah Alam," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Permintaan Zakaria itu adalah sesuatu yang penting dalam usaha Selangor memburu sebanyak mana kelebihan gol untuk dibawa ke Pasir Gudang Sabtu ini.
"Kita lihat Johor FC, suku akhir pertama mereka tewas 1-3 tetapi menang besar pada perlawanan kedua.
"Jadi, kita perlukan sokongan penonton untuk membangkitkan semangat pemain Selangor dan mematikan terus kemaraan pemain Johor FC," ujarnya.
Menurut Zakaria, sebagai bukti, kehadiran 50,000 penonton ketika perlawanan Piala Sultan Selangor bulan lalu jelas meningkatkan moral dan semangat pemainnya untuk beraksi cemerlang seterusnya menewaskan Singapura.
"Kita mahu semangat yang sama berulang Rabu ini (esok). Kalau nak tengok Safee Sali dan Frank Seator mencipta hatrik, datanglah beramai-ramai ke stadium.
"Lupakanlah seketika menonton Sukan Olimpik untuk satu malam saja. Ini kerana Selangor kini di landasan terbaik untuk melangkah ke akhir dan menjulang Piala Malaysia," katanya yang mensasarkan 20,000 penonton hadir malam esok.
Tentang persiapan pasukan, Zakaria memberitahu semua pemainnya dalam keadaan baik tetapi cuma Nazrul Erwan Makmor baru sembuh daripada sakit mata.