Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
20.08.08

Suffian harap tuah aksi akhir

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

PENJAGA gol utama Selangor, Mohd. Suffian Ab. Rahman mengimpikan tuah penampilan pertama pada perlawanan akhir saingan bola sepak Piala Malaysia akan berakhir dengan kejayaan muncul juara.

Sepanjang 10 tahun kariernya, Suffian yang pernah mewakili Negeri Sembilan (1999-2004) dan TMFC (2005-2007) hanya sekali merasai bahang perlawanan akhir Piala Malaysia iaitu pada tahun 2000.

"Pada final itu, Hamsani Ahmad menjaga gawang Negeri Sembilan sementara saya sekadar duduk di bangku simpanan. Kami kempunan menjulang piala kerana tewas 0-2 kepada Perak.

"Kali ini, peluang beraksi di pentas final bersama Selangor akan saya gunakan sepenuhnya selain memastikan gawang tidak dibolosi barisan serangan Kedah," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Penjaga gol berusia 30 tahun itu turut mahu membalas dendam atas kekalahan Selangor kepada Kedah 2-3 pada final Piala FA 21 Jun lalu di mana gawangnya telah dibolosi oleh Fadly Baharom, Khyril Muhymeen dan Syafiq Jamal.

"Sabtu ini, kami perlu lebih berhati-hati dengan serangan Kedah. Pertahanan kena tutup ruang sebaiknya. Kalau boleh, kami mahu kalahkan Kedah dalam masa 90 minit.

"Tapi, jika berlarutan ke masa tambahan atau sepakan penalti pun, saya tetap akan pastikan Selangor muncul juara," ujar penjaga gol kedua skuad kebangsaan itu.

Tambah Suffian, skuad Selangor kini giat menjalani latihan di Padang PKNS, Kelana Jaya dan mereka dijadualkan menguji padang Stadium Nasional, Bukit Jalil pada petang Jumaat ini.

"Kali terakhir saya jejak padang Stadium Nasional ketika latihan Piala Asia tahun lalu. Harap keadaan padang baik supaya aksi perlawanan akhir berlangsung menarik," katanya.