16.08.08
Surendran tetap bersemangat
Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)
R. SURENDRAN yang menjaringkan gol kedua Selangor ketika menewaskan Johor FC 2-0 di Stadium Shah Alam Rabu lalu tetap menyertai rakan-rakan sepasukannya bagi perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium JCorp, Pasir Gudang malam ini.
Sebaik tamat perlawanan separuh akhir pertama Rabu lalu, Surendran terpaksa bergegas pulang ke Ipoh kerana abang iparnya telah meninggal dunia akibat kanser paru-paru pada petang hari perlawanan tersebut.
Ketika dihubungi petang semalam, bekas pemain Perak itu memberitahu dia sudah pun berada di Johor Bahru selepas bertolak bersama pemain-pemain lain dari Shah Alam pagi semalam.
"Saya tiba dari Ipoh pagi tadi (semalam) dan terus bersama pasukan bertolak ke Johor Bahru. Semuanya sudah selesai dan saya kini boleh fokus kembali untuk perlawanan kedua ini," katanya.
Rabu lalu, biarpun sudah mengetahui berita kematian abang iparnya, Surendran merahsiakannya daripada jurulatih dan pengurusan pasukan kerana tetap mahu turun beraksi dan hasilnya dia berjaya menjaringkan gol kemenangan Selangor.
Kini, Surendran makin bersemangat untuk memastikan Selangor berjaya menyingkirkan Johor FC bagi melangkah ke perlawanan akhir Sabtu depan sebagai hadiah bermakna kepada mendiang abang iparnya.
"Semasa sakit, mendiang beberapa kali pesan kepada saya supaya main betul-betul sehingga mencapai kejuaraan dan saya mahu menunaikannya," kata pemain yang kempunan menjulang Piala Malaysia musim lalu ketika turun mewakili Perak yang tewas 0-3 kepada Kedah dalam perlawanan akhir.
Menurut pemain yang bakal mencecah usia 26 tahun pada 26 Oktober depan itu, dia tidak kisah sekiranya tidak berada dalam kesebelasan utama Selangor malam ini tetapi berjanji akan menampilkan persembahan terbaik andai dimasukkan sebagai pemain gantian seperti dilakukannya Rabu lalu.