22.08.08
Tugas sukar Selangor kekang Kedah cipta sejarah
Oleh: BERNAMA
WALAUPUN bergelar juara Piala Malaysia sebanyak 32 kali, Selangor mempunyai tugas sukar untuk menyekat Kedah daripada mencipta sejarah mendakap enam piala dalam tempoh dua tahun apabila mereka bertemu di perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil esok malam.
Kedah musim ini mempertahankan dua piala iaitu Liga Super dan Piala FA dan kini meneruskan misi menjulang Piala Malaysia, piala bola sepak paling berprestij di negara ini.
"Kita berasa syukur walaupun dengan jadual yang agak ketat, Kedah sekali lagi mara ke perlawanan akhir dan telah bersedia untuk perlawanan itu," kata ketua jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah kepada pemberita di sidang media di sini petang ini.
Azraai berkata pemain-pemainnya kini berada dalam keadaan bersemangat dan semua pemain adalah cergas serta bebas daripada sebarang penggantungan.
"Kita berharap skuad Kenari akan mendapat kelebihan dengan khidmat dua pemain import Bernard Huggins dan Marlon Alex James yang tiada pada perlawanan akhir Piala FA kerana tugasan negara mereka," katanya.
Namun pada perlawanan akhir itu Jun lepas, Kedah dilihat masih kuat dan mencatat kemenangan 3-2 ke atas Selangor walaupun menggunakan seorang sahaja pemain import iaitu Nelson San Martin.
"Tapi saya dapat lihat peningkatan di dalam pasukan Selangor sejak kebelakangan ini jadi kita akan menghadapi mereka dengan berhati-hati," kata Azraai.
Sementara itu jurulatih Selangor, Dollah Salleh yang kali terakhir membawa pasukannya menjulang Piala Malaysia pada 2005 mengakui hakikat bahawa tugas sukar untuk menyekat Kedah yang di lihat berada pada prestasi terbaik.
"Saya lihat permainan malam esok akan seimbang tapi saya akan pastikan peluang yang ada (mara ke final) untuk merangkul piala tidak akan dipersia-siakan setelah terlepas dua kejuaraan musim ini," katanya.
Kedah mempunyai rekod bersih pada musim ini apabila menang dua perlawanan Liga Super ke atas Selangor dengan keputusan 6-2 di Stadium Darul Aman dan 1-0 di Stadium Shah Alam.
Skuad Kenari sebelum ini layak ke perlawanan akhir setelah menewaskan Terengganu dengan agregat 3-2 manakala Selangor menyingkirkan Johor FC juga dengan keputusan 2-1.
Barisan kemungkinan:
Kedah: Mohd Helmi Eliza Elias, Victor a/l Andrang, Mohd Sabre Mat Abu, Mohd Fazliata Taib, Bernard Huggins, Ahmad Fauzi Shaari, Mohd Khyril Muhyameen Zambri, Baddrol Bakhtiar, Nelson San Martin, Marlon Alex James, Muhammad Shafiq Jamal.
Selangor: Mohd Suffian Abdul Rahman, Razman Roslan, Evans Chisulo, Asraruddin Putra Omar, Safiq Rahim, Mohd Amirulhadi Zainal, Mohd Syukor Adan, Indra Purta Mahayuddin, Mohd Safee Sali, Frank Seator, Ellie Aiboy.