Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
08.09.08

Amri tetap setia bersama Selangor

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

PEMAIN serba boleh, Mohd. Amri Yahyah menyatakan kesediaan untuk terus menabur bakti bersama pasukan negeri kelahirannya, Selangor bagi musim kesembilan berturut-turut pada musim baru yang bermula Januari depan.

Namun menurut Amri, dia kini masih menantikan keputusan daripada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sama ada khidmatnya masih diperlukan atau sebaliknya.

"Jika dikekalkan, saya bertekad terus beraksi bersungguh-sungguh untuk memberikan kejayaan buat pasukan Selangor kerana kita kemarau piala sejak menang treble pada 2005," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Amri yang mula mewakili skuad senior Selangor sejak tahun 2001 telah memastikan jersi No. 17 menjadi miliknya setahun selepas itu dan terus kekal sehingga sekarang.

Ditanya tentang harapan penyokong Selangor yang mahu melihat anak jati Tanjung Karang itu menjadi kapten Selangor musim depan, Amri berkata" "Itu saya tak boleh komen lagi, tak pernah terfikir pun. Tengoklah macam mana nanti."

Amri, 27, kini seakan-akan mendapat semangat baru bagi menghadapi musim depan selepas isterinya, Nurul Izza Mohamad Satim, 26, selamat melahirkan cahaya mata sulungnya, Muhammad Adam Rayyan di Hospital Pakar An-Nur, Bandar Baru Bangi pada 2 September lalu.

"Memang gembira kerana saya dan isteri kini sudah ada zuriat sendiri. Tanggungjawab lebih berat selepas ini dan saya kena kerja keras lagi di atas padang," ujarnya.

Bagi Amri, kehadiran Rayyan merupakan rezeki Ramadan selain memberi lebih semangat buat dirinya untuk lebih maju dalam karier bola sepaknya.

"Sama ada dia (Rayyan) akan menjadi pemain bola sepak suatu hari nanti, itu terpulanglah kepada dirinya," katanya.