Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
17.09.08

Angin perubahan melanda skuad Gergasi Merah

Oleh: Drahman Baharun (KOSMO!)

SELANGOR melakukan rombakan agak drastik dengan menggugurkan beberapa pemain berpengalaman termasuk jurulatih Dollah Salleh untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Begitupun, 13 pemain musim lalu dikekalkan serta dilanjutkan kontrak masing-masing.

Tiga pemain kebangsaan adalah antara nama besar yang tidak dilanjutkan kontrak bagi musim 2009 iaitu kapten skuad kebangsaan, Shukor Adan dan dua penyerang kebangsaan iaitu Indra Putra Mahayuddin dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli.

Antara pemain lain yang turut digugurkan ialah Muhd. Nuraizat Abd Aziz (penjaga gol), Wan Mohd. Hoesne Wan Hussen (penyerang) dan Megat Amir Faisal Al-Khalidy Ibrahim (penjaga gol).

Manakala 13 pemain yang dikekalkan ialah Mohd. Safee Sali, Surendren Rasiah, Gunalan Padathan, Mohd. Amri Yahyah, Surendran Davaghan, Mohd. Razman Roslan, Mohd. Amirul Hadi Zainal, Mohd. Nasriq Baharom, Mohd. Asraruddin Putra Omar, Mohd. Fazilidin Khalid, Sritharan Selver Raju, Mohd. Zaiza Zainal Abidin dan Mohd. Fadzirul Zakaria.

Selain itu, tiga pemain dari pasukan Piala Presiden dinaikkan pangkat ke skuad senior iaitu Mohd. Fairul Azwan Shahrullai (penjaga gol), Mohd. Fitri Shazwan Raduwan (pemain tengah) dan Mohd. Fauzan Dzulkifli (pemain tengah).

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Abdul Mokhtar Ahmad berkata pihaknya juga masih mengadakan rundingan untuk mencari jurulatih baru bagi menggantikan Dollah.

"Kami masih mempunyai banyak pilihan dan mempunyai banyak masa untuk mencari jurulatih tempatan dan luar negara.

"Setakat ini, kami masih belum mengesahkan jurulatih yang

bakal menggantikan Dollah," katanya pada sidang media selepas majlis berbuka puasa Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bersama media di Kelab Sulta Sulaiman, Kuala Lumpur semalam.

Abdul Mokhtar berkata pemain yang tidak dilanjutkan kontrak itu disebabkan mereka mahu mengundurkan diri di samping tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh pengurusan FAS.

"Pemain yang tidak dilanjutkan kontrak ini adalah perkara biasa dalam bola sepak.

"Ada di antara mereka telah mendapat tawaran daripada pasukan lain, ini kerana pemain tempatan sudah menjadi buruan mana-mana pasukan yang menawarkan gaji yang lebih tinggi selepas FAM tidak membenarkan lagi khidmat pemain import sekarang. Namun ada juga yang tidak memenuhi kriteria yang kami tetapkan," katanya.

Ditanya mengapa kontrak pemain berpengalaman seperti Shukor Adan tidak dilanjutkan, Mokhtar berkata: "Ia adalah langkah untuk memberi peluang kepada semua pemain muda untuk tampil mengisi kekosongan pemain senior.

"Pemain muda lain juga perlu membuktikan mereka mampu melakukan persembahan yang lebih mantap.

"Bukan kami menggugurkan mereka kerana tidak beraksi dengan baik tetapi kami telah mencapai kata sepakat dalam perkara ini," katanya.

Katanya, FAS menghargai sumbangan yang telah diberikan oleh pemain yang kontrak mereka tidak dilanjutkan.

Ditanya berhubung pemain yang digugurkan itu tanpa menunggu penilaian jurulatih baru, Mokhtar berkata: "Kita membuat keputusan ini selepas penilaian yang telah diberikan oleh anggota gabungan dalam FAS.

"Kita juga membuat penilaian berdasarkan laporan daripada jurulatih dan penolong jurulatih sebelum ini," katanya.

Sementara itu, pihaknya juga melepaskan empat pemain iaitu Safiq Rahim, Mohd. Fadzli Saari, Abdul Ghani Abdul Rahman dan Mohd. Suffian Ab Rahman yang menyatakan mahu menyertai pasukan lain.

"Pada dasarnya kami mahu melanjutkan kontrak mereka dan memberikan tempoh kepada mereka untuk mempertimbangkannya. Namun, pemain ini tidak hadir dan menyatakan mahu menyertai pasukan lain," katanya.