Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
16.09.08

Dollah belum fikir skuad musim depan

Oleh: HARIAN METRO

SELEPAS empat musim mengepalai dan merencana setiap pergerakan, jurulatih bola sepak Selangor, Dollah Salleh akur bahawa khidmatnya tidak lagi diperlukan pasukan negeri itu mulai musim depan.

Meskipun terkilan dengan hakikat itu, Dollah enggan menjadikan penggugurannya sebagai alasan untuk beliau terus leka sebaliknya bangkit memikirkan strategi baru yang mahu diterapkan kepada pasukan barunya nanti.

Begitupun, setakat ini, bekas pemain Selangor dan kebangsaan itu berkata beliau masih belum memutuskan untuk menerima tawaran sebagai ketua jurulatih yang dihulurkan beberapa pasukan negeri dan kelab.

"Memang saya ada menerima beberapa tawaran tetapi saya belum memutuskannya lagi. Saya perlu berfikir mengenainya. Buat masa ini, biarlah saya berehat dulu.

"Soal kecewa atau patah hati tidak timbul kerana sebagai seorang profesional, kita perlu sentiasa bersedia untuk perkara sebegini.

"Ini adalah lumrah di dalam bola sepak. Saya perlu akur dengan setiap keputusan yang dibuat oleh majikan saya. Saya puas hati dengan sumbangan saya kepada Selangor dan saya berharap mereka akan terus menjulang kejayaan selepas ini," kata Dollah.

Dollah mula bergelar jurulatih skuad Gergasi Merah itu pada 2005 dan ketika itu mereka sekadar beraksi di dalam Liga Perdana.

Pada musim pertamanya bersama Selangor, Dollah dan anak buahnya berjaya membawa pulang tiga gelaran iaitu juara Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia - kejayaan terbaik mereka dalam tempoh lima tahun ini.

Antara khabar angin yang paling kuat bertiup mengenai Dollah ketika ini ialah beliau berkemungkinan besar membimbing sebuah pasukan bertaraf kelab, berpangkalan di Pantai Timur.

"Saya tidak mahu bercakap apa-apa mengenai jawatan baru. Saya mahu melupakan seketika soal bola sepak dan saya rasa masih terlalu awal untuk bercakap mengenainya," kata Dollah.