17.09.08
Dua trofi diburu
Oleh: Drahman Baharun (KOSMO!)
KEJUARAAN Liga Super dan Piala Malaysia menjadi sasaran Selangor musim depan.
Hajat besar itu dibuat berdasarkan kemampuan yang telah dibuktikan barisan pemainnya musim ini.
"Dua piala menjadi buruan dan ia adalah sasaran yang realistik berdasarkan kemampuan yang telah dibuktikan.
"Kami tidak boleh meletakkan sasaran tiga piala kerana ia dilihat terlalu mengundang tekanan," kata pengurusnya, Zakaria Ab. Rahim pada sidang media selepas majlis berbuka puasa Persatuan Bola Sepak Selangor di Kelab Sultan Sulaiman di ibu negara semalam.
Meskipun memiliki barisan pemain yang berkemampuan namun usaha-usaha mencari pemain baru yang berwibawa tetap ada dalam agenda mereka.
Menurutnya mereka tetap mencari pemain untuk dilamar beraksi dengan Selangor dan langkah ini adalah perkara biasa dalam usaha untuk memantapkan pasukan.
Begitupun, katanya pemain yang mereka hajati itu kelak biarlah tidak terikat dengan sebarang kontrak bersama pasukan masing-masing.
"Kami masih mempunyai banyak masa untuk mengenal pasti pemain yang kami hajati namun biarlah ia dibuat secara profesional tanpa menjejaskan mana-mana pihak.
"Setakat ini kami masih belum dapat mengesahkan siapa pemain yang kami kenal pasti kerana ada di antara mereka masih mempunyai kontrak dengan majikan masing-masing," katanya.
Dalam perkembangan lain, Zakaria turut mengumumkan bahawa jurulatih pasukan Piala Presiden Selangor, P. Maniam turut dinaikkan pangkat sebagai penolong jurulatih Selangor.