Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
16.09.08

Empat idaman

Oleh: Bazly Azmi (HARIAN METRO)

EMPAT muka baru diketuai jurulatih, K Devan dijangka menjadi ramuan terbaru finalis Piala Malaysia 2008, Selangor musim depan dan bakal diumumkan pada sidang media sempena majlis berbuka puasa Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), hari ini.

Difahamkan, selain Devan, penjaga gol Perak, Hamsani Ahmad bersetuju mengikat kontrak bersama Gergasi Merah Kuning, sementara gandingan kembar Negeri Sembilan, Mohd Aidil Zafuan dan Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak belum dapat dipastikan kerana turut mempertimbangkan tawaran pasukan berkenaan selain UPB-MyTeam.

Begitupun, khabar mengatakan peluang Selangor, juara Piala Malaysia 32 kali dilihat lebih cerah atas dua faktor. Pertama, gandingan kembar itu sememangnya bercita-cita menyarung jersi Selangor selain mahu kembali mendapat sentuhan Devan, jurulatih mereka ketika mengendalikan Negeri Sembilan pada 2004.

Mereka berdua gagal dihubungi kerana menggalas tugasan antarabangsa bersama skuad kebangsaan kendalian B Sathianathan pada lima aksi persahabatan menentang kelab Slovakia, bermula hari ini.

Begitupun, seperti biasa, Devan enggan mengulas pembabitannya bersama Selangor musim depan sekalipun kontraknya bersama Kuala Muda Naza bakal berakhir.

"Saya tidak tahu apa-apa, hanya media yang kerap membuat spekulasi. Saya masih mempunyai kontrak bersama Naza dan belum memikirkan mengenai perpindahan.

"Kontrak bersama Naza belum dapat dipastikan sama ada dilanjutkan atau tidak kerana akan diputuskan mesyuarat pengurusan dalam masa terdekat. Apapun, saya mengharapkan hasil yang positif bagi semua pihak," katanya.

Perkembangan terbaru itu dilihat kukuh ekoran pengguguran tonggak senior diketuai kapten, Shukor Adan, Indra Putra Mahayuddin, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan penjaga gol, Megat Amir Faisal selain jurulatih berpengalaman, Dollah Salleh.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan, Datuk Abdul Halim Abdul Latif, enggan mengulas kedudukan gandingan kembar itu yang memainkan peranan penting ketika membantu skuad Jang muncul naib juara Liga Super musim lalu.

Sebelum ini, Mohd Aidil mengakui menerima tujuh tawaran termasuk Selangor, MyTeam, Sarawak, Kedah, Perlis, Johor FC dan Polis, namun keutamaan diberikan kepada Negeri Sembilan.