Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
01.09.08

FAS fokus laporan

Oleh: Alias Abd Rani (HARIAN METRO)

MASA depan pemain skuad Gergasi Merah sama ada khidmat mereka masih diperlukan atau tidak bagi musim 2008/09 belum diputuskan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Setakat ini, tumpuan hanya terarah kepada penyerahan laporan lengkap terhadap prestasi pasukan itu sepanjang musim lalu dan sebarang keputusan mengenai status pemain belum diputuskan lagi.

Pengurus pasukan, Zakaria Abdul Rahim, berkata pihaknya kini sibuk menyediakan laporan untuk diserahkan kepada pengurusan FAS.

"Perpindahan pemain memang perkara biasa sebaik musim berakhir. Jadi, apa yang diluahkan pemain yang dikatakan mahu berpindah, bukanlah sesuatu yang baru.

"Memang saya ada dengar perkara ini sejak dua bulan lalu namun belum ada kesahihan mengenainya. Setiap pasukan akan berusaha memancing pemain yang dilihat berpotensi.

"Inilah dikatakan profesional dalam bola sepak. Kami bersifat terbuka kepada semua pemain untuk menyatakan pendirian masing-masing dan bukannya seperti sesetengah persatuan yang lebih gemar menutup mulut pemain," katanya.

Zakaria berkata, seandainya diikutkan hati beliau enggan mengetepikan seorang pemain pun untuk musim depan, namun semuanya bergantung kepada pengurusan bagi menentukan nasib mereka.

"Jika kami memilih pemain tetapi tidak dipersetujui pihak pengurusan, kami tidak boleh berbuat apa-apa. Bukan berlaku di sini saja malah Liga Perdana Inggeris turut mengalami perkara sama.

"Kalau mereka ingin berpindah, itu hak mereka. Masing-masing ada hak untuk menentukan nasib mereka. Itulah yang dikatakan rezeki.

"Pengurusan juga ada hak mengenepikan pemain yang masih ada ikatan kontrak, apatah lagi mereka yang kontrak sudah tamat. Pemilihan pemain perlu dibuat mengikut keperluan sesuatu pasukan," katanya.