Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
02.09.08

FAS tak halang pemain hijrah

Oleh: Lokman Zainal Abidin (HARIAN METRO)

PERGILAH kalau itu keputusan anda. Itulah saja yang mampu diluahkan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) berhubung khabar angin yang mengatakan ada di antara pemain skuad Gergasi Merah yang mahu meninggalkan pasukan itu musim depan.

"Kami tidak akan menghalang jika ada di antara pemain yang mahu berhijrah ke pasukan lain musim depan. Memang kontrak semua pemain Selangor sudah tamat semalam (kelmarin) dan pihak pengurusan akan mengadakan pertemuan dalam masa terdekat ini.

"Ada pemain yang akan disambung kontraknya dan ada juga yang tidak akan disambung. Itu proses biasa. Saya sudah memaklumkan kepada semua pemain bahawa mereka akan diberitahu mengenai kontrak mereka dalam masa terdekat ini.

"Apa yang menggembirakan kami ialah FAS tidak ada hutang dengan semua pemain termasuk pemain import. Semua pembayaran gaji dan semua yang berkaitan sudah kami selesaikan dan terpulang kepada pemain jika mereka berhasrat mewakili negeri lain musim depan," kata Setiausaha Agung FAS, Hamidin Mohd Amin.

Hamidin secara tidak langsung mengingatkan pemain bahawa mereka perlu berhati-hati apabila mengambil keputusan untuk berhijrah kerana tidak mahu ada di antara mereka menjadi mangsa kepada kegagalan majikan baru mereka untuk melunaskan gaji.

"FAS amat mengambil berat soal gaji pemain dan setakat ini, kami tidak pernah gagal mengeluarkan bayaran gaji kepada pemain," katanya.

Hamidin turut menyangkal dakwaan terdapat pergeseran di antara pemain dengan pengurusan skuad Selangor sambil menyifatkan ia sebagai tidak berasas sama sekali.

Sepanjang pengetahuannya, tidak ada sebarang masalah di antara pemain dengan pengurusan pasukan dan kalaupun ada, ia hanyalah masalah kecil dan tidak perlu dibimbangkan.

"Memang sesuatu yang biasa apabila terbit nada kecewa di kalangan pemain yang gagal membantu pasukan membawa pulang sebarang gelaran tetapi ia bukanlah masalah besar seperti yang didakwa sesetengah pihak," katanya.

Khabar angin yang kuat bertiup ketika ini ialah penyerang Selangor, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dikatakan mahu berhijrah ke pasukan lain selepas kecewa tidak mendapat tempat di dalam kesebelasan utama Gergasi Merah.

Selain Akmal, beberapa pemain lain turut menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap pengurus, Zakaria Abdul Rahim yang dikatakan mengabaikan tugasnya sebagai pengurus pasukan.