Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
17.09.08

Imej baru Selangor

Oleh: Lokman Zainal Abidin, Alias Abd Rani dan Bazly Azmi (HARIAN METRO)

DARIPADA sebuah skuad yang boleh dianggap sebagai memiliki barisan pemain bertaraf bintang, Selangor dilihat mahu tampil secara lebih bersederhana untuk menghadapi saingan Liga Super musim depan.

Nama-nama besar yang ‘menghiasi’ skuad Gergasi Merah musim lalu termasuklah Mohd Shukor Adan, Indra Putra Mahyuddin, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Megat Amir Faisal Al-Khalidy Ibrahim serta dua pemain muda, Muhd Nuraizat Abd Aziz dan Wan Mohd Hoesne Wan Hussein sudah pasti tidak akan ada di dalam senarai musim depan selepas digugurkan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Begitu juga dengan Safiq Rahim, Mohd Fadzli Saari, Abd Ghani Abd Rahman dan Mohd Suffian Ab Rahman yang hingga kini masih belum menyatakan persetujuan menyarung jersi Merah Kuning dan pengurus Selangor menganggap keempat-empat pemain terbabit mungkin sudah mendapat tawaran lebih lumayan berbanding apa yang ditawarkan FAS.

Dengan senario seperti itu, antara pemain ‘ternama’ Selangor yang masih kekal musim depan hanyalah Mohd Safee Sali, Amirulhadi Zainal, Mohd Amri Yahyah, Mohd Asraruddin Putra Omar, D Surendran sambil dibantu beberapa pemain lain.

Pada sidang akhbar yang bertujuan memperkenalkan barisan pemain Selangor yang akan membawa cabaran negeri itu musim 2009, Timbalan Presiden FAS, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad berkata 13 pemain skuad musim lalu dikekalkan.

"Tiga pemain skuad Piala Presiden Selangor dipilih beraksi bersama skuad senior dan mereka ialah Mohd Fairul Azwan Shahrullai, Mohd Fitri Shazwan Raduwan dan Mohd Fauzan Dzulkifli," kata Abdul Mokhtar.

Abdul Mokhtar juga mengesahkan FAS sedang mengadakan siri perbincangan untuk mengambil beberapa pemain lain tetapi enggan mendedahkan identiti semua pemain berkenaan.

"Mereka masih lagi mempunyai kontrak dengan pasukan asal masing-masing dan perbincangan sedang dijalankan," katanya.

Sementara itu, Abdul Mokhtar berkata, FAS masih belum memutuskan untuk mendapatkan khidmat mana-mana jurulatih bagi menggantikan Dollah Salleh yang tidak disambung kontraknya dan enggan menyebut nama jurulatih yang sedang diintai.

"Kita belum terdesak untuk mendapatkan khidmat jurulatih bagi menggantikan Dollah kerana tarikh akhir pendaftaran yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih jauh lagi. Lagipun, kita mempunyai penolong jurulatih termasuk pengendali skuad Piala Presiden, P Maniam yang kini dilantik untuk mengendalikan skuad senior," katanya.