15.09.08
‘Itu hak mereka’
Oleh: Alias Abd Rani (HARIAN METRO)
SPEKULASI demi spekulasi mengenai status skuad Gergasi Merah yang dikatakan bakal berwajah baru semakin kedengaran namun bagi Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), pedulikan apa yang dikatakan pihak tertentu.
Sejak kontrak keseluruhan pemain tamat 31 Ogos lalu, banyak spekulasi dibuat dan tidak terkecuali mengenai nasib jurulatih Dollah Salleh turut tersenarai dalam kelompok yang bakal digugurkan.
Namun, semua kekalutan itu akan terungkai apabila FAS mengadakan sidang media, esok.
Bagaimanapun, kedudukan pemain dalam skuad Gergasi Merah itu nampaknya tidak banyak berubah apabila pengurus pasukan, Zakaria Abdul Rahim, memaklumkan 80 peratus daripadanya sudah ditawarkan kontrak baru.
"Sebahagiannya sudah selesai (menandatangani kontrak) dan sebahagian masih dalam perbincangan," katanya.
Berkenaan spekulasi yang digembar-gemburkan sebelum ini, Zakaria menambah, pihaknya mengambil pendekatan sikap terbuka.
"Itu hak mereka (pihak tertentu) untuk membuat andaian kerana kami lebih kepada sikap terbuka," katanya.
Mengulas mengenai permintaan gaji lebih tinggi daripada pemain berbanding sebelum ini, beliau berkata, perkara itu sudah menjadi lumrah bagi setiap pemain untuk membuat permohonan kenaikan.
"Kami bersedia dengan kenaikan itu memandang kos sara hidup sekarang ini semakin meningkat.
"Kalau sebelum ini, pembayaran gaji pemain dibuat berdasarkan harga petrol yang lama dan kami sedia untuk luluskan permohonan mereka.
"Cuma, kami perlu membuat penelitian terhadap perkara itu dengan mengambil kira beberapa aspek termasuk prestasi, posisi serta rekod sepanjang tahun lalu.
"Terpulang kepada mereka sama ada setuju atau tidak. Dalam hal ini, kami tidak akan paksa pemain membuat pilihan untuk diri mereka," katanya.