12.09.08
Safee, Amirul sah kekal
Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)
JIKA ada pasukan yang berminat mendapatkan khidmat Mohd. Safee Sali dan Amirul Hadi Zainal, mereka harus segera melupakan niat tersebut.
Ini kerana kedua-dua pemain kebangsaan ini mengesahkan bahawa mereka akan kekal beraksi bersama Selangor bagi saingan musim depan.
Menurut Safee, 24, dia membuat keputusan itu kerana berasa sudah selesa dan serasi setelah dua musim bersama Selangor biarpun mengakui ada menerima beberapa tawaran daripada pasukan lain.
"Memang selepas tamat musim, saya mendapat tawaran antaranya daripada Johor FC, UPB-MyTeam dan Kedah. Namun saya telah membuat keputusan untuk kekal dengan Selangor.
"Lagipun, saya masih belum berpuas hati kerana tak dapat lagi membantu Selangor menjulang kejuaraan dalam Liga Malaysia," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Pemain kelahiran Kajang itu akan berlepas ke Slovakia awal pagi esok bersama skuad kebangsaan bagi menghadapi siri perlawanan persahabatan dengan kelab di negara itu.
"Kami akan pulang ke tanah air pada 28 September. Kemudian, saya bersama isteri dan anak akan berhari raya di kampung saya di Tapah, Perak sebelum kembali ke kem skuad kebangsaan pada hari raya keempat," ujarnya.
Sementara itu, Amirul, 22, berkata, dia juga ada menerima beberapa tawaran daripada pasukan lain tetapi tetap memilih untuk kekal dengan Selangor.
"Saya rasa tiada sebab untuk tinggalkan Selangor. Saya akan terus menabur bakti dengan Selangor," katanya ketika dihubungi semalam.
Amirul yang beraksi cemerlang ketika aksi persahabatan skuad kebangsaan menentang Chelsea Julai lalu menambah, dia kini sedang menumpukan perhatian dalam skuad skuad kebangsaan.
"Walaupun berpuasa, saya dan pemain kebangsaan lain tetap memberikan 100 peratus fokus sepanjang sesi latihan," ujarnya.
Selain Safee dan Amirul, difahamkan beberapa lagi pemain kelahiran Selangor turut akan kekal musim depan.
Antaranya ialah Amri Yahyah, D. Surendran, Zaiza Zainal, Nasriq Baharom, S. Sritharan dan Asraruddin Putra Omar.
Bagaimanapun beberapa pemain 'luar' pula dikhabarkan tidak akan disambung kontrak mereka, antaranya Shukor Adan, Indra Putra Mahayuddin, Akmal Rizal Rakhli dan Megat Amir Faisal.