Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
18.09.08

Safiq, Fadzli pilih KL Plus

Oleh: HARIAN METRO

TANDA tanya mengenai hala tuju dua bekas pemain Selangor, Safiq Rahim dan Mohd Fadzli Saari, terjawab apabila mereka akan mewakili KL Plus, musim depan.

Pengesahan itu dibuat jurulatih KL Plus, Mat Zan Mat Aris, yang berkata kedua-dua pemain itu sudahpun menandatangani kontrak dengan pasukan, baru-baru ini.

"Mereka antara pemain baru kami musim depan. Keutamaan kami selepas ini adalah mencari penyerang kerana kami menggunakan dua penyerang import musim lalu.

"Selain itu, saya hendak dapatkan pemain tengah dan mungkin juga satu atau dua pemain pertahanan," katanya.

KL Plus akan beraksi dalam Liga Super musim depan dan mereka mencari pemain baru bagi memperkuatkan pasukan dalam usaha mencapai kedudukan lebih baik.

Malah, persiapan sudah mula dijalankan dengan sesi latihan membabitkan 14 pemain diadakan sepanjang Ramadan ini.

Mengenai desas-desus bahawa KL Plus cuba mendapatkan bekas penyerang Selangor, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, jurulatih itu menafikannya.

"Kami tidak mempunyai perancangan untuk mendapatkannya," katanya.

Mat Zan berkata, pihaknya masih dalam rundingan dengan beberapa pemain yang berpotensi menyertai KL Plus tapi enggan mendedahkan identiti mereka selagi tiada perjanjian dimeterai.