Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
01.09.08

Selangor berkecamuk, pemain pula berpuak

Oleh: BERITA HARIAN

TIADA elemen harmoni serta kekurangan semangat sepasukan dalam skuad Selangor difahamkan adalah faktor utama yang menyebabkan kegagalan bekas juara Piala Malaysia 32 kali itu memenangi sebarang gelaran musim ini.

Sebelum ini, hanya bekas penyerang utama skuad kebangsaan Akmal Rizal Ahmad Rakhli secara terbuka menyuarakan hasrat meninggalkan skuad Merah Kuning tetapi beberapa pemain senior lain juga dijangka mengikut jejak langkahnya.

Pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bakal mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat memutuskan kedudukan pemain dan jurulatih menjelang musim depan, namun difahamkan beberapa pemain sudah mula muak dengan suasana dalam pasukan dan bertekad untuk mencari haluan baru.

"Skuad Selangor sebenarnya mempunyai barisan yang mantap musim ini, tetapi masalah utama kami ialah tiadanya semangat tinggi berpasukan di kalangan pemain-pemain.

"Musim ini, pemain dalam skuad Selangor terbahagi kepada beberapa kelompok pemain yang diketuai oleh beberapa pemain senior. Apabila pemain berpuak-puak sesama sendiri, sudah pasti semangat sepasukan juga luntur.

"Keadaan ini menyebabkan segelintir pemain berasa kecewa dan hilang keseronokan bermain dalam pasukan ini. Boleh dikatakan semangat sepasukan yang ada sejak 2005 kini sudah tiada lagi, " kata seorang pemain senior Selangor.

Pemain itu turut mendedahkan perpecahan di kalangan pemain mula terjadi apabila pucuk pimpinan baru mengambil alih teraju FAS, dan pelantikan Zakaria Ab Rahim sebagai pengurus sepenuh masa sejak Jun lalu turut gagal mengembalikan keharmonian dalam pasukan.

Lebih menarik, Zakaria dikatakan seolah-olah berasa terlalu teruja apabila ke berjaya ke dua perlawanan akhir bersama Selangor daripada menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang pengurus sepenuh masa.