10.09.08
Selangor dapat jurulatih baru untuk musim baru
Oleh: Eric Samuel (THE STAR)
PERSATUAN Bola Sepak Selangor (FAS) merancang rombakan besar dalam skuad Liga Super mereka, termasuk menggantikan ketua jurulatih Dollah Salleh.
Dollah yang membawa Red Giants gelaran treble (Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia) pada 2005 tidak lagi menjadi pilihan selepas empat musim.
Mereka menamatkan saingan Liga Super musim lalu di tangga keempat dan tewas kepada Kedah dalam final Piala FA dan Piala Malaysia.
"Saya telah diberitahu tentang perkara ini dan saya akan berundur dengan perasaan gembira," kata Dollah semalam.
"Ia bukan tugas mudah mengendalikan sebuah pasukan paling berjaya dalam bola sepak Malaysia. Saya bangga kerana telah berkhidmat dengan Selangor sebagai pemain dan jurulatih.
"Saya tak rasa menyesal dan saya harap individu yang ambil alih nanti dapat melakukan yang terbaik."
Dollah menambah, dia telah menerima beberapa tawaran dari pasukan berstatus kelab tetapi masih terbuka untuk membuat pilihan.
Dia sebelum ini telah membawa MPPJ menjadi pasukan kelab pertama menang Piala Malaysia pada 2003.
Beberapa jurulatih dikaitkan bagi menggantikan tempat Dollah dan mereka termasuklah bekas pertahanan Selangor, Mehmet Durakovic dari Australia, jurulatih Kuala Muda Naza, K. Devan dan jurulatih Perak, Steve Darby.
Setiausaha Agung FAS, Hamidin Mohd. Amin berkata, pihaknya akan membuat pengumuman dalam masa terdekat tentang keputusan yang diambil bagi menghadapi musim baru.
"Kami akan jemput untuk sidang media selepas kami memuktamadkan keputusan. Kami mahu elak semua pihak daripada membuat spekulasi tentang pemain dan jurulatih bagi musim baru," katanya semalam.
Hamidin menambah, pihak pengurusan telah bermesyuarat baru-baru ini untuk membincangkan tentang perubahan bagi musim baru.
+ TELAH DITERJEMAH DARIPADA ARTIKEL ASAL DALAM BAHASA INGGERIS