18.09.08
Selangor mula berlatih 15 Oktober
Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)
SKUAD Liga Super Selangor akan memulakan latihan pertama mereka pada 15 Oktober depan sebagai persediaan menghadapi awal musim baru yang akan bermula dengan perlawanan Piala Sumbangsih menentang Kedah pada 3 Januari 2009.
Penolong jurulatih Selangor yang baru, P. Maniam berkata sesi latihan pertama itu akan disertai 16 pemain yang sudah menandatangani kontrak baru serta beberapa pemain baru yang akan diambil kelak.
"Kita akan memulakan dengan latihan biasa untuk mengembalikan kecergasan pemain. Kemudian kita akan mengadakan latihan pra-musim yang lokasinya belum ditentukan lagi," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menurut Maniam, 40, tempoh latihan selama dua bulan setengah itu nanti dilihat mencukupi bagi Selangor membentuk adunan mantap antara pemain lama dan baru.
"Kebanyakan pemain yang dikekalkan adalah pada posisi pertahanan. Jadi, kita akan ambil beberapa pemain baru bagi memantapkan posisi tengah, sayap dan penyerang," jelasnya.
Ditanya tentang jawatan ketua jurulatih Selangor yang masih kosong ketika ini, Maniam memberitahu Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mungkin akan mengumumkannya dalam tempoh seminggu dua lagi.
Maniam yang berasal dari Klang diumumkan secara rasmi oleh FAS kelmarin sebagai penolong jurulatih yang baru menggantikan tempat Anuar Abu Bakar.
Anuar pula akan bergandingan dengan jurulatih Piala Belia Selangor musim lalu, P. Somasundram untuk melatih skuad Piala Presiden Selangor musim depan.
Maniam turut mengingatkan tiga pemain muda yang diserapkan daripada skuad Piala Presiden musim lalu iaitu penjaga gol, Fairul Azwan Shahrullai, Fitri Shazwan Raduwan dan Fauzan Dzulkifli supaya memanfaatkan peluang yang diberikan itu.
"Tahun depan Fitri dan Fauzan sudah tamat pengajian mereka di UiTM, jadi bolehlah beri tumpuan sepenuhnya terhadap latihan.
"Saya lihat ketiga-tiga pemain ini mempunyai teknik dan kemahiran yang bagus, cuma fizikal perlu dipertingkatkan dan perlu lebih rajin," tegasnya.
Maniam turut mencadangkan penjaring terbanyak skuad Piala Presiden Selangor musim lalu, Lukhman Noor Hakim Jaafar untuk diserapkan ke dalam pasukan utama.
"Saya akan cadangkan nama Lukhman dan beberapa pemain muda lain, tapi ia terpulang kepada perancangan ketua jurulatih baru dan FAS," jelasnya.
Sepanjang karier sebagai pemain, Maniam pernah beraksi di semua posisi ketika bersama pasukan Selangor (1989-1997), Kuala Lumpur (1998-1999) dan Public Bank Selangor (2000-2004).
Sebagai jurulatih pula, Maniam menjadi jurulatih skuad Piala Belia Selangor (2005-2007) serta jurulatih skuad Piala Presiden Selangor 2008 yang muncul sebagai juara.